KERAJAAN PERPADUAN PERGI
JAMAAH PERPADUAN MARI
Bila ulama' sesama ulama' berkhilaf, jangan disamakan seperti orang bergusti
Kerajaan Perpaduan bukanlah masalah usul (pokok) dalam syariat Islam. Tiada dalil qat'i yang mengharuskan atau mengharamkan. Ia adalah persoalan ijtihadiyah. Maka tidak hairanlah jika pimpinan PAS sendiri tidak sependapat dalam perkara ini. Hukum bagi masalah ijtihadiyah dan furu' berubah mengikut keadaan dan suasana.
Qaedah Fiqhiyyah menyatakan:
Qaedah Fiqhiyyah menyatakan:
لا ينكر تغير الأحكام بتغير الزمان والمكان والحال
"Tidak ditolak perubahan hukum dengan berubahnya zaman, tempat dan keadaan."
Walaupun lontaran idea itu datang dari Presiden, namun melihatkan ketidak sediaan banyak pihak dalam menerima idea ini serta manipulasi pihak musuh yang mempergunakan isu ini untuk kepentingan mereka maka Tuan Guru Presiden dengan rendah hati menarik balik idea itu.
Begitulah besarnya jiwa seorang ulama' yang mendapat pengiktirafan gerakan Islam seluruh dunia. Sekalipun beliau boleh sahaja membuat keputusan yang akhirnya menjadi kewajipan kepada semua ahli untuk mentaatinya kerana mentaati amir dalam perkara ijtihadiyyah adalah wajib selagi tidak bertentangan dengan syariat. Namun Presiden memilih untuk tidak berbuat demikian melihatkan kepada maslahah dan mafsadahnya.
Di pihak Mursyidul Am pula, kerelaannya menarik balik lontaran kemarahannya kepada Timbalan Presiden adalah satu tindakan yang sungguh mulia. Inilah hikmah usrah. Apabila bertemu, ukhuwwah akan terjalin. Persengketaan akan hilang. Ketika timbulnya isu muzakarah yang menyebabkan orang ramai melihat Mursyidul Am dan Presiden seolah-olah bertempur dari jauh, namun apabila mereka bertemu, Allah satukan hati mereka. Dakapan presiden dan Mursyidul Am menguraikan segala yang kusut.
Subhanallah... Inilah jamaah Islam. Inilah gerakan Islam. Inilah yang dicemberui oleh kawan dan lawan. Barangkali, ini adalah hasil doa dan solat hajat ratusan ribu ahli yang sayangkan jamaah Islam ini.
Begitulah mulianya jamaah yang dipimpin oleh ulama'. Ulama' adalah pewaris Nabi, ulama' adalah manusia yang takutkan Allah melebihi 'spesis' manusia lain. Inilah kenyataan dari Al Quran dan Hadith. Dalam berkhilaf, ulama' memelihara dan meraikan adabul khilaf. Dalam berhujjah, ulama' bersandar kepada dalil naqli dan 'aqli. Dalam berijtihad, ulama' melihat dan merenung kemaslahatan ummah. Dalam kerasnya, ada kelembutan. Dalam lembutnya ada ketegasan.
Di manakah kedudukan kita berbanding ulama'. Siapalah kita, hendak bertempur dengan ulama'.
Sesungguhnya PAS adalah sebuah jami'ah, sebuah universiti. Bahkan PAS adalah sebuah struktur pendidikan yang kompleks. Bermula pendidikan diperingkat akar umbi yang dibina di atas usrah dan tamrin. Hinggalah ke peringkat pertempuran politik dan kajian ilmiah, syura ulama' dan ijtihad politiknya. Beruntunglah mereka yang telah melalui kesemua peringkat tarbiyah dalam jami'ah PAS ini.
Ijtihad-ijtihad politik pimpinan PAS seperti ijtihad tentang kepimpinan ulama awal 80an, ijtihad ketika bertahalluf dengan Umno (1970an), CCC, Nasma, kemudiannya bersama S46, Hamim, Berjasa (1990) dan kini bersama PKR dan DAP serta pewujudan Kelab Penyokong PAS menjadi kajian ilmiah yang diberikan tumpuan hebat di universiti ternama di Timur Tengah dan Eropah.
Pensyarah sains politik hanya berteori. Tetapi graduate dari 'Universiti PAS' adalah mereka yang menghayati, menyelami dan merasai jerit perihnya perjuangan Islam. Sesungguhnya ahli dan pejuang PAS adalah mereka yang lebih hebat dari pak profesor di U-U yang bertaburan atas muka bumi ini.
ALLAHU AKBAR!
salam ziarah dari ana mewakili dpp raub .....www.dppraub.blogspot.com
ReplyDelete