Friday, July 31, 2009

KALUNG LAGI....

Banyak pihak menyeru supaya Majlis Fatwa keluarkan fatwa mengenai kezaliman ISA.

Pada pandangan penulis, kalau fatwa dikeluarkan pun tak jadi apa. Pemimpin Umno tak pernah hormat fatwa. Lihat saja dalam isu fatwa berkenaan kalung bunga di Tugu (berhala) Peringatan Negara.

Dulu bila anak ulama' naik jadi PM, ingatkan nak buat perubahan. Rupanya sama je. So, apa nak heran bila Najib pun kalungkan juga.

Dalam Umno ni tak kira anak ulama' ke anak sape ke. Asal duduk dalam kapal Umno, maka haluannya sama.

So, apa yang penting (kata wonderpet) hapuskan Umno!


Untuk rekod:
1. KEPUTUSAN FATWA NEGERI PAHANG

ENAKMEN PENTADBIRAN
UNDANG-UNDANG ISLAM PAHANG 1991
(Enakmen 3/91)


FATWA DI BAWAH SEKSYEN 36
Fatwa berikut yang dibuat oleh Mufti Negeri di bawah subseksyen 36 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 39 (6) Enakmen itu adalah disiarkan menurut subseksyen 36(2) Enakmen itu:

“Meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan sempena upacara sambutan Hari Pahlawan dan upacara-upacara lain adalah haram dan hendaklah ditinggalkan.”

http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=371

2. KEPUTUSAN FATWA NEGERI PULAU PINANG

Upacara Hari Pahlawan di tugu peringatan
"Bahawa haram tiupan dan bertafakur dengan menundukan kepala kepala selama 20 saat dengan meletakan kalung bunga ditugu, bacaan sajak yang boleh menimbulkkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan, tetapi dengan syarat tidak dilakukan dihadapan tugu, atau di dalam suasana yang dilarang oleh syarak kerana semua ini adalah upacara agama juga."

http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=608



3. KEPUTUSAN FATWA NEGERI PERLIS

Berdoa di tugu peringatan adalah ditegah oleh syara’ dan hukumnya haram kerana perbuatan seumpama itu termasuk di dalam larangan firman Allah, surah al Maidah ayat 90 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi dan al-ansab(menyembah berhala) dan al azlam (bertenung nasib) adalah najis daripada amalan syaitan. Maka hendaklah kamu jauhkan daripadanya moga-moga kamu berjaya”.

Keterangan: “Al-Ansab” maknanya batu orang-orang jahiliyah sembelih korban disisinya dan beribadat kepadanya. Berdoa adalah ibadat, berdoa di batu tugu peringatan sama seperti orang-orang jahiliyah beribadat di al-Ansab yang dimaksudkan di dalam ayat 90 itu.

http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=428


DLM PRK MANEK URAI, TPM MUHYIDIN CABAR PAS DEDAHKAN KESESATAN UMNO. LIHATLAH GAMBAR DI BAWAH. DULU KINI DAN SELAMANYA UMNO MELAKUKAN SYIRIK. MENGALUNGKAN BUNGA PADA PATUNG-PATUNG BERHALA YANG TIDAK BERNYAWA.... BIAR BERPULUH FATWA DIKELUARKAN, PEMIMPIN UMNO AKAN KATA.... PERGI JAHANAM LA FATWA...

Tuesday, July 28, 2009

16 TAHUN DALAM SANGKAR BESI

ISA KURUNG ULAMA'
Ketika isu Al Arqam hangat pada tahun 1993 yang lalu, ramai yang tertanya-tanya, kenapa kerajaan Thai bekerjasama menangkap dan menyerahkan Abuya kepada kerajaan Malaysia. Apa kepentingan Thailand dalam isu ini. Tidak ada.

Tetapi Thailand mengambil kesempatan di atas isu ini untuk menuntut seorang ulama' Patani yang bermastautin di Malaysia. Baba (Tuan Guru) Bedung yang telah sekian lama tinggal di Malaysia dan membuka pondok pengajian Islam di Kedah, telahpun menjadi rakyat Malaysia yang sah.

Di Malaysia, beliau tidak menyusahkan kerajaan Malaysia, mahupun kerajaan Thai. Beliau hanya mengabdikan diri kepada Allah menerusi menyebaran ilmu-ilmu Islam dipondoknya. Namun kerajaan Siam yang menaruh dendam terhadap pejuang Islam ini telah mengambil kesempatan di atas isu Ashaari dan Al Arqam untuk menuntut kerajaan Malaysia supaya menyerahkan Baba Bedung.

Sepatutnya Malaysia tidak melayan tuntutan Thai kerana Baba Bedung sudah menjadi rakyat Malaysia dan beliau tidak pernah melakukan apa-apa jenayah. Namun ketamakan pemimpin kedua-dua negara menyebabkan mereka menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan Baba Bedung lalu diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand. Di pihak Siam pula, mereka menangkap Ashaari dan menyerahkannya kepada kerajaan Malaysia.

Semenjak itu kita tidak tahu apa khabar berita Baba Bedung. Sedangkan Ashaari yang ditahan hanya beberapa hari, kemudiannya dibebaskan setelah membuat pengakuan terbuka yang disiarkan di kaca TV.

Baru-baru ini, Ustaz Fauzi Husein, Setiausaha Dewan Ulama' PAS Kedah bertemu dengan anak Baba Bedung yang sedang belajar di sebuah pusat tahfiz Al Quran. Beliau bertanya perkhabaran Baba Bedung.

Sambil menangis teresak-esak, anaknya memberitahu bahawa sejak ditahan, ayahnya dikurung di dalam sebuah sangkar besar di sebuah penjara berhampiran sempadan Burma. Di peringkat awal, beliau telah diseksa dengan berbagai-bagai bentuk seksaan. Askar Thai membakar getah di atas sangkar itu, apinya menitik di atas tubuh ulama' Patani ini menyebabkan kulit tubuhnya berlubang-lubang.

Hingga kini beliau masih dikurung dalam sangkar besi bersaiz 6 kaki panjang dan lebar.

Semua ini berlaku kerana angkara zalim ISA!


Sunday, July 26, 2009

MANSUH ISA.... Bukan Tangguh

Oleh: Ustaz Nasrudin Hj Hasan At-Tantawi
(Ketua Pemuda PAS Pusat)

1. ISA tidak lagi relevan! begitulah ungkapan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Buat pertama kalinya saya bersetuju dengan Tun Abdullah dengan pengakuan ini.

2. ISA diwujudkan sejak 1 Ogos 1960 [1 Ogos 2009 kelak genap 49 tahun beroperasi] adalah bertujuan untuk mencegah golongan subversif dan komunis yang mengancam keselamatan negara.

3. Menurut bekas Presiden Majlis Peguam Haji Sulaiman Abdullah, Majlis Peguam membantah akta ini [ISA] kerana berpagang kepada sebab–sebab yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Kedua [Tun Abdul Razak] ketika beliau membentang ISA di Parlimen satu ketika dulu atas ancaman subversif dan pengganas komunis. [Mingguan Malaysia, 25 Jun 2000]

4. Rasionalnya, apabila pergerakan dan ancaman subversif atau komunis telah tidak lagi wujud dalam negara kita, maka akta ini mestilah dimansuhkan terus oleh parlimen.

5. Sungguh! bahawa keselamatan negara mestilah dikawal dan dipelihara. Persoalannya ialah negara kita telah merdeka sejak sekian lama. Bukankah Negara memiliki PDRM, SPRM, institusi kehakiman, Jabatan pendakwaraya, peguam negara dan institusi mahkamah yang sangat terhormat dalam negara kita. Apakah segala institusi yang ada ini belum memadai untuk menjaga keselamatan negara dan menegakkan keadilan? sehingga memaksa akta seperti ISA dikekalkan? Tidak masuk aqal!

6. Apa yang dituntut ialah supaya ISA yang memberi kuasa kepada menteri [orang politik] untuk menahan sesiapa sahaja yang disyaki mengancam keselamatan negara di mansuhkan kerana ia membuka ruang untuk menteri selaku orang politik bertindak zalim ke atas musuh politiknya.

7. Apa yang dituntut ialah supaya ISA yang menahan dan memenjara mangsa tanpa mendatangkan bukti serta di adili di mahkamah di mansuhkan kerana ia zalim dan menafikan hak individu membela diri atau mendapat hak pembelaan di mahkamah.

8. Apa yang dituntut ialah supaya ISA yang banyak digunakan untuk menangkap musuh politik tidak terus dijadikan mesin hayat pemerintah yang zalim berselindung pula disebalik undang–undang yang zalim dan primitif.

9. ISA tidak demokratik. Bahkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 5 Fasal 4 bahawa undang–undang perlembagaan tidak membenarkan seseorang warganegara ditahan tanpa arahan majistret melebihi tempoh 24 jam [tidak termasuk perjalanan yang perlu] dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa majistret itu.

10. Kerana saya tidak setuju! ISA mesti dimansuhkan! Anda setuju?





Friday, July 24, 2009

KENAPA TIDAK TERUS MASUK PAS?

PAS BAHTERA YANG MENYELAMAT

Oleh: Ketua Pemuda PAS Kawasan Bentong


PAS telah wujud sejak tahun 1951. Namun perjuangan Islam yang di bawa oleh PAS adalah kesinambungan perjuangan Hizbul Muslkimin yang diharamkan oleh penjajah pada 1948. Bahkan lebih dahulu dari itu, perjuangan suci ini telah ratusan tahun dibawa oleh pejuang-pejuang dan ulama’ terdahulu dan ribuan tahun oleh para nabi dan rasul ‘alaihimussolatu wassalam.

JATUH BANGUN

Dalam tempoh berkenaan, PAS telah menelusuri onak dan duri, jatuh dan bangun, ditekan dan dilawan, menang dibeberapa buah negeri, parlimen dan Dun. PAS pernah menang di Terengganu dan Kelantan ketika kesedaran Islam masih belum tinggi atau dengan kata lain ketika kain tudung kepala belum begitu glamour. PAS pernah berkongsi kuasa dengan Barisan Nasional yang menghasilkan beberapa institusi Islam dan perbankan Islam.

PAS seterusnya merasa betapa peritnya ditendang keluar dari Barisan Nasional dan tewas di Kelantan. PAS juga pernah tinggal 2 kerusi pada tahun 1986. Ketika wakil PAS di Parlimen, Pak Nik Lah berucap, semua MP Umno (Melayu/Islam) keluar. Yang tinggal hanya yang bukan Islam.

Perpecahan Umno pada tahun 1987, memberikan keuntungan kepada PAS apabila berjaya menyapu bersih kerusi DUN Kelantan pada 1990. Itu kemenangan yang diraih bersama bekas ahli dan pemimpin Umno yang membentuk Semangat 46 (kemudiannya Parti Melayu Semangat 46 dan seterusnya dikuburkan oleh mereka sendiri).

Dengan beberapa isu yang timbul, gejala murtad, kecaman secara terus terang Dr Mahathir terhadap golongan ulama’ membangkitkan dan melonjak sokongan rakyat kepada PAS, khususnya pada Pilihanraya Kecil Arau awal 1998. Ulama’ tersohor, Ustaz Hashim Jasin berjaya menewaskan adik MB Perlis dalam pilihanraya berkenaan. Kebangkitan rakyat sedang membara ketika itu.

Kayu yang sedang membara itu tiba-tiba menjulang api besar apabila timbul isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, November 1998. Natijahnya, hanya setahun selepas itu, PAS menjadi parti pembangkang yang terbesar bilangan wakilnya di Parlimen. Jawatan Ketua Pembangkang yang biasanya disandang oleh wakil DAP, beralih tangan kepada Dato’ Fadhil Noor, Presiden PAS. Jawatan yang dipegangnya hingga keakhir hayat.

Walaupun mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan pada 2004, namun Pilihanraya 2008 menyaksikan PAS kembali bangkit degan memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan oleh pembangkang. Walaupun kerusi parlimen mencatatkan PAS berada di tangga ke 3 (23 kerusi) selepas PKR (31) dan DAP (28), namun jika dicampur dengan semua kerusi termasuk Dun, maka PAS adalah parti alternatif yang paling mendapat sokongan rakyat. PAS memenangi hati rakyat bawahan dengan mendapat 84 kerusi Dun, manakala Dap (40) dan PKR (73). PAS juga mempunyai 3 orang Menteri Besar, Dap (1) dan PKR juga (1).

KERJASAMA

PAS menerusi kepimpinan ulama’ sentiasa bersedia berdialog, berbincang dan berkerjasama dengan pelbagai pihak. Sejak awal penubuhan, PAS sememangnya bersikap terbuka. Dalam menuntut kemerdekaan, satu sejarah yang cuba disembunyi, PAS lebih kehadapan dalam menuntut kemerdekaan. Slogan PAS ketika itu ialah, “Merdeka!” Sedangkan slogan Umno, “Hidup Melayu!”

Umno tidak berani menzahirkan kebencian mereka kepada penjajah. Lihat saja slogannya. Lihat saja pada namanya. Walaupun ia pertubuhan Melayu, namun nama pertubuhan itu disingkatkan dari istilah bahasa Inggeris iaitu ‘Umno’. Hingga kini mereka langsung tidak masyhurkan nama ‘Pekembar’.

Pun begitu PAS sentiasa terbuka dengan Umno. Presiden PAS pernah berceramah bersama Presiden Umno di atas satu pentas. PAS terlibat dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MPEN). Kemuncak kepada keterbukaan PAS ialah kesediaan PAS menyertai Barisan Nasional bagi merealisasikan agenda Islam. Walaupun kemudiannya ditendang keluar, namun dalam tempuh yang singkat itu, PAS telah berjaya memainkan peranan membangunkan institusi dan sistem Islam yang sehingga kini dinikmati oleh seluruh rakyat. Ijtihad ulama’ PAS ketika itu ternyata memberikan kebaikan.

PAS turut membuka pintu kerjasama dengan pertubuhan lain yang sebahagiannya lebih merupakan bantuan PAS untuk pertubuhan berkenaan terus hidup. Majlis Perundingan China (CCC) pernah bekerjasama dan mengeluarkan deklarasi bersama dalam beberapa isu. Parti Nasionalisma Malaysia (Nasma) yang wujud hanya ‘beberapa saat’ turut diberi muka oleh PAS pada awal 80-an. PAS turut bekerjasama dengan parti yang bercanggah ideologi mereka dengan prinsip perjuangan Islam yang dipegang oleh PAS, iaitu PSRM dan Dap.

Antara kerjasama yang besar ialah kerjasama dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang melibatkan Parti S46, Hamim dan Berjasa. Walaupun PAS tahu Hamim dan Berjasa hanya ‘hidup segan mati tak mahu’ namun PAS meraikan mereka atas dasar perpaduan ummah. PAS juga tahu pendokong S46 tidak ada agenda yang besar selain mahu menubuh kembali Umno asal yang telah diharamkan, namun PAS memberi ruang kerjasama. Bahkan jawatan Timbalan MB2 Kelantan diwujudkan semata-mata untuk menjaga persahabatan.

Ketika Datuk Seri Anwar dipecat, PAS memberikan pentasnya kepada Anwar untuk diangkat naik kembali. Ini bukan kerja baru. Dr Mahathir juga pernah menumpang pentas PAS ketika dihalau oleh Tungku. Namun PAS tidak menganggap mereka menumpang. Sebaliknya PAS berpegang kepada prinsip, sebesar manapun dosa seseorang itu, Allah tetap memberinya peluang untuk bertaubat. Seorang pemuda Bani Israel diterima taubatnya oleh Allah, walaupun dia telah membunuh 99 nyawa dan kemudiannya menggenapkan bilangan 100. Seorang wanita umat Nabi Musa diterima taubatnya walaupun dia telah berzina, mengandung anak luar nikah dan seterusnya membunuh anak berkenaan selepas kelahiran. Jibril sendiri turun mengumumkan kepada Musa AS bahawa Allah menerima taubatnya.

Menangani isu Anwar, PAS membuka pintu Markaz Tarbiahnya di Taman Melewar untuk dijadikan tempat berhimpunnya para simpatis terhadap Anwar menubuhkan Gerak. Bukan sekadar parti politik yang menjadi tetamu di Taman Melewar, bahkan NGO dan tokoh perseorangan turut menggabungkan diri ke dalam Gerak.

Oleh kerana kerap berpidato bersama pimpinan PAS, ramai ahli PAS berharap agar Anwar menyertai PAS, biarpun ketika itu Anwar berucap mengatakan, “Saya masih sayangkan Umno.” Harapan itu adalah atas dasar hubungan baik Anwar sebelum ini dengan pimpinan PAS serta gandingan PAS-Abim dipersada politik Islam suatu ketika dahulu.

Harapan ahli PAS ternyata tidak disambut Anwar. Setelah ditangkap, pengikut-pengikutnya yang dipimpin oleh Wan Azizah dan Ezam menubuhkan Adil. Kemudian diisytiharkan penubuhan parti baru yang menggunakan lesen sebuah parti politik yang sudah tidak aktif. Parti KeADILan Nasional (PKN) kemudiannya menukarkan namanya kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah kemasukan pimpinan PRM (asalnya penggabungan, tetapi PRM terus wujud hingga kini).

Biarpun sedikit kecewa, Anwar dan penyokongnya enggan menyertai PAS, namun PAS turut menjalin hubungan mesra dengan mereka. Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang ditandingi PAS sejak sekian lama diberikan kepada Wan Azizah sebagai mewakili Barisan Alternatif.

Kerusi Lembah Pantai yang sinonim dengan PAS dan merupakan kubu kuat PAS di ibu kota diserahkan kepada Zainol Zakaria dan kemudiannya anak Anwar, Nurul Izzah. Bahkan PAS juga terlalu banyak bertoleransi menyerahkan kawasan-kawasan lain di seluruh negara yang merupakan kubu kuat PAS, untuk ditandingi oleh PKR. Ramai ahli PAS yang merungut, “Depa bertanding kawasan kita, tapi petugas depa ada dua tiga kerat ja. Kita yang dok tolong kempen.” Rungutan ahli PAS cuba diredakan oleh pimpinan, bahawa kita perlu hormati rakan.

Dalam melayar bahtera perjuangan yang ramai orang hendak tumpang, pimpinan PAS sentiasa berhati-hati. Setiap tahalluf dikaji di peringkat Majlis Syura supaya maslahah perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS terpelihara.

Tidak sedikit di antara mereka yang kemudiannya lari dan memutuskan persahabatan dengan PAS. Sejarah mencatatkan, PAS tidak pernah memutuskan tali persahabatan. Namun ‘penumpang-penumpang’ inilah yang selalunya meninggalkan dan memungkiri janji setia serta ‘sumpah keramat’ mereka.

MENEMPEL

Selain parti politik, terdapat orang perseorangan yang turut menumpang bahtera PAS ini. Mereka ini kebanyakannya golongan yang tidak cenderung kepada parti politik. Ada juga yang tidak cenderung kepada perjuangan Islam. Yang cenderung kepada perjuangan Islam pula, ada yang mendakwa PAS merintis jalan yang tidak syar’i dengan menyertai pilihanraya. Bahkan ada juga yang mendakwa perjuangan secara solo lebih baik.

Namun golongan ini terpaksa juga menumpang bahtera PAS apabila mereka dianiaya, perjuangan mereka dicabar, mereka disingkir dari pertubuhan yang mereka anggotai sebelum ini dan sebagainya.

Bukan sekadar menerima kehadiran mereka dan memberi pentas kepada mereka, bahkan ada yang diberikan kawasan parlimen dan Dun untuk mereka bertanding, biarpun mereka tidak menyertai PAS.

Ada antara mereka yang turut berdemonstrasi berama-sama dengan PAS apabila PAS mengetengahkan isu yang mereka prihatin. Ketika berdemonstrasi isu Palestin, kumpulan yang selama ini mengatakan perjuangan PAS tidak syar’i turut mengusung bendera mereka dan menyusup di celah-celah saf pemuda PAS. Ketika isu PPMSI, ramai pejuang bahasa bersama PAS dalam aktiviti bantahan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Apabila PAS mengutarakan isu berkaitan setinggan, maka pejuang-pejuang yang membela golongan ini menempel di anjung PAS. Apabila ada individu teraniaya, maka PAS membela mereka kerana PAS berpegang kepada prinsip Islam yang menentang kezaliman walau ke atas orang yang bukan Islam. Individu ini akhirnya mula jinak di dalam majlis ceramah PAS dan turut serta berkempen untuk calon PAS di dalam pilihanraya. Begitu jugalah dengan isu-isu yang lain. PAS menerima mereka seadanya.

KENAPA TIDAK TERUS SERTAI PAS

Namun yang agak menghairankan, kenapa golongan ini masih terus dengan ideologi mereka dan enggan menyertai PAS. Allah sudah membuka laluan kepada mereka untuk menumpang bahtera ini barang seketika. Allah beri ruang kepada mereka melihat betapa ikhlasnya pejuang-pejuang PAS.

PAS telah melayarkan bahtera perjuangan ini sejak sekian lama. Adakalanya di atas, adakalanya di bawah. Kadang-kadang menang, kadang-kadang kalah. Ada pimpinannya yang jadi Menteri Besar, ada yang dapat dato’, tan sri dan sebagainya. Ada juga yang disumbat ke dalam penjara, Kem Kamunting, bahkan ada yang dibunuh.

Namun parti ini tetap istiqamah di atas perjuangan ini. Perjuangannya terus menerus tanpa henti. Semua parti Melayu yang seangkatan dengannya sudah berkubur termasuk Umno yang diharamkan pada 1988, namun PAS tetap teguh melayari bahteranya.

Jadi, apa lagi yang tak kena dengan PAS. Mengapa ikut PAS hanya dalam isu-isu tertentu sahaja. Mengapa tidak terus sahaja sertai PAS. Bukankah menyertai perjuangan Islam ini satu kemuliaan. Bukankah bersama-sama dengan jamaah Islam ini mendatangkan pahala.

Kadang-kadang penulis merasa sedih dan simpati terhadap pejuang-pejuang yang sanggup membiarkan diri mereka dikurung di penjara dan disiksa bertahun-tahun lamanya, namun jalan perjuangannya tidak dibina atas nama Islam. Alangkah besarnya ganjaran Allah di atas kesukaran yang terpaksa mereka tempuh andainya mereka berjuang atas nama Islam.

Saturday, July 11, 2009

MURSYIDUL AM DAN TIMBALAN PRESIDEN CERAMAH DI MANEK URAI

Pengarah Jentera Pilihanraya PAS di Manek Urai, Abd Fatah Harun memberitahu wartawan bahawa Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang baru selesai pembedahan kecil di hospital bakal berceramah bersama Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS di Manek Urai dalam waktu terdekat.

Pengumuman berkenaan sekaligus menafikan spekulasi yang dicanang oleh pihak media kononnya Timbalan Presiden PAS itu enggan ke Kelantan atas sentimen isu kerajaan perpaduan.

Walaupun sebelum ini, Abd Fatah dilaporkan berkata ketidak hadiran Ustaz Nasha ke penamaan calon mungkin disebabkan malu muka, namun Astro Awani petang ini menyiarkan kenyataan beliau yang menyatakan bahawa Timbalan Presiden tidak ada di Manek Urai kerana sakit dan memerlukan rawatan di hospital.

Sekali lagi, Umno/BN gagal melaga-lagakan pimpinan PAS. Allahumma rudda kaidahum 'ala nuhurihim.

Friday, July 10, 2009

Timbalan Presiden Dalam Rawatan

Gambar yang menjawab beberapa persoalan
Walaupun isu kerajaan perpaduan sudah ditutup oleh Mursyidul Am, Presiden dan Timbalan Presiden PAS, namun masih ada suara-suara sumbang yang terus cuba mengeruhkan suasana dan 'mencucuk sana sini' bagi merenggangkan hubungan sesama pimpinan dan ahli PAS.

Ada yang masih menulis dan menyenaraikan "kesilapan" Presiden mengeluarkan ijtihad, hingga menyebabkan Naib Presiden, merangkap pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran akan bertindak tegas terhadap sesiapa yang mengungkit dan menimbulkan kembali isu ini.

Dalam menghadapi pilihanraya Manek Urai, ada kalangan tertentu yang menyindir ketidak-hadiran Timbalan Presiden ke pusat penamaan calon dengan pelbagai andaian dan penghinaan. Tidak cukup lagikah penghinaan yang diberikan kepada beliau ketika isu berkenaan sedang memuncak baru-baru ini.

Timbalan presiden adalah antara pemimpin PAS yang amat kurang 'melayan' pertanyaan media dan sebelum pemilihan lalu, beliau langsung tidak bersedia untuk ditemuramah oleh wartawan khususnya dari media berbahasa Melayu kerana bimbang disalah-ertikan kenyataannya.

Namun kesilapan beliau menjawab pertanyaan wartawan yang menyerbu dan mendesak dengan soalan bertalu-talu di parlimen tempohari menjadi peluru hidup kepada sesetengah pihak untuk menghentam dan melanyak beliau walaupun Mursyidul Am sendiri sudah menarik balik kata-katanya dan telah menyelesaikannya secara anak beranak.

Kini apabila Ustaz Nasha tidak kelihatan di pusat penamaan calon PRK Manek Urai, ada yang mengandaikan beliau sebagai tidak bertanggung-jawab, malu muka, gah dengan jawatan dan sebagainya.

Hakikatnya, Ustaz Nasha sedang menanggung derita dengan penyakitnya dan terpaksa dilakukan pembedahan di Hospital Serdang.


Wednesday, July 8, 2009

Akhirnya... PPSMI TERPAKSA DIKUBURKAN JUGA

Petikan berita terkini Utusan sebentar tadi:






Sunday, July 5, 2009

ISU BABI DI KEDAH

DAP Kedah ternyata terdesak dengan asakan Gerakan yang cuba memainkan isu perkauman untuk menarik sokongan orang China. Bimbang sokongan kaum itu beralih kepada Gerakan, DAP Kedah mula mengorak langkah untuk menjadi juara dalam isu-isu yang cuba dibangkitkan oleh Gerakan. Berikut adalah petikan tulisan Zulkifli Yahya dalam Harakah Daily yang menjelaskan pokok persoalan isu ini:

Kewujudan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di atas tanah milik kerajaan negeri sebenarnya sudah lebih dari 30 tahun.

Hanya kira-kira 100 meter dari pusat tersebut, letaknya pasar awam yang secara umumnya didatangi oleh majoriti orang Melayu/Islam setiap hari. Berhampiran pusat penyembelihan tersebut juga terletak sebuah kampung Melayu, Telok Yan, yang mengandungi kira-kira 200 buah rumah.

Keadaan pusat penyembilan tersebut amatlah dhaif, kotor, tidak terurus serta sistem pembuangan yang tidak sempurna. Ia wujud bagi membekalkan keperluan daging untuk kawasan utara Kedah. Keperluan sebenar hanya antara 50 sehingga 80 ekor, tetapi dilaporkan secara harian 120 ekor disembelih. Tidak dipastikan ke mana lebihan tersebut dibawa.

Bau sangat busuk

Oleh kerana pusat tersebut tidak diselia dengan sempurna, di samping mencemarkan persekitaran, ia juga mengeluarkan bau yang sangat busuk. Jika hari hujan, orang ramai yang lalu lalang terpaksa menutup hidung walau dari jarak yang jauh. Ia merimaskan orang ramai termasuk, kesemua peniaga Cina yang berniaga di deretan kedai berhampiran.

Sisa-sisa babi juga dibuang sewenang-wenangnya ke dalam tong sampah milik MBAS.

Pada tahun 1995, MBAS (ketika itu masih Majlis Perbandaran) telah membatalkan lesen perniagaan pusat penyembelihan tersebut serta memberi notis untuk keluar dari tapak tersebut. Bermakna sejak 14 tahun yang lalu, pusat tersebut beroperasi secara haram.

Jika DAP memberitahu bahawa kerajaan negeri hanya memberi tempoh selama sebulan untuk mencari tapak baru, ternyata tidak betul. Sebenarnya tempoh melebihi 168 bulan telah diberikan!

Pada tahun 80-an, berhampiran pusat penyembelihan itu juga terdapat pusat penyembelihan lembu dan kerbau. Apabila diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa tempatan setelah tempat tersebut dianggap tidak sesuai, mereka berpindah tanpa banyak soal. Tiada pihak pun yang melakukan provokasi perkauman.

Isu pusat penyembelihan babi itu dibincangkan secara serius apabila ahli-ahli MBAS dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Semua tahu dalam apa isu pun, ahli majlis kerajaan tempatan dari Pakatan Rakyat menanganinya secara serius dan professional.

Berbeza dengan ahli majlis zaman BN dulu yang hadir mesyuarat hanya untuk mengangguk macam Pokka.

Dalam mesyuarat Ahli MBAS yang diadakan mereka bersetuju dengan sebulat suara supaya tindakan meroboh pusat tersebut dilakukan segera setelah pelbagai faktor diambilkira. Sekalipun kewujudan pusat itu telah tidak disenangi oleh kesemua orang Melayu/Islam yang tinggal berhampiran, tidak kira dari PAS atau Umno, tetapi ia bukan faktor yang diambilkira oleh MBAS dalam membuat keputusan merobohnya.

Bukan isu perkauman

Ertinya langsung tidak bersabit dengan isu perkauman, tetapi soal perundangan dan peraturan yang tidak dipatuhi oleh pengusaha haram tersebut. Jauh sekali dari bermaksud menafikan hak-hak orang bukan Islam seperti yang ditohmahkan.

Gerakan adalah parti komponen BN yang bijak memutarbelitkan isu dan melakukan provokasi perkauman di kalangan orang Cina sehingga beberapa pemimpin bukan Melayu Pakatan Rakyat turut terpengaruh.

ADUN DAP Kota Darul Aman, Lee Guan Aik dan pengusaha haram tersebut telah bertemu Menteri Besar untuk memohon ehsan beliau bagi mengarah penangguhan kerja meroboh. Mereka meminta tempoh sebulan untuk mencari tapak baru (setelah 14 tahun mencari tak jumpa?). Menteri Besar bersetuju.

Dalam pada itu, Umno bermain 'perang saraf' di kalangan orang Melayu, "Tengok kerajaan PAS kalau nak roboh rumah orang Melayu di Kampung Tok Bidan tak ada tanguh-tanguh, kalau nak roboh kandang babi boleh tangguh pulak."

Di kalangan orang Cina pula Gerakan memukul canang, "Mana slogan PAS untuk semua, hak bukan Islam dinafikan."

Lidah yang keluar dari mulut BN bercabang-cabang. Elok benar kalau kepala Umno dan Gerakan dipegang dan dilagakan antara satu sama lain.

Hero masyarakat Cina

Akhirnya pada 1 Julai 2009, pusat penyembelihan tersebut dirobohkan. Gerakan dan DAP menyatakan bantahan terbuka, tetapi hakikatnya DAP ketika ini yang kelihatan menjadi hero di kalangan masyarakat Cina.....

Oleh kerana isu ini terlanjur telah menjadi isu politik di kalangan parti-parti bukan Melayu, yang jika dibiarkan berlarutan akan mempengaruhi segolongan masyarakat bukan Melayu yang tidak memahami isu sebenar, maka ada baiknya kerajaan negeri membantu menyegerakan pembinaan pusat penyembelihan baru yang mematuhi peraturan. Maka isu tersebut akan selesai dengan baik.