Monday, May 4, 2009

PAS: Gerakan Dakwah Tanpa Henti


Parti Islam Semalaysia (PAS), satu-satunya gerakan dan jamaah yang memperjuangkan Islam yang syumul di Malaysia telah berusaha mengajar dan melatih serta memberikan kefahaman Islam yang sempurna kepada ahli dan penyokongnya sejak sekian lama. Usaha yang dipanggil 'tarbiah' ini begitu berkembang baik pada pertengahan tahun 80-an, iaitu semenjak konsep Kepimpinan Ulama' mula diperkenalkan.

Soal sampai atau tidak mesej tarbiah ini kepada seluruh ahli, sukar untuk dijawab dengan angkanya. Ini kerana PAS tidak bersikap seperti sebuah kelab elit yang menghadkan penyertaan dan keahlian hanya di kalangan golongan tertentu sahaja. Tetapi PAS membuka keahlian kepada sesiapa sahaja yang ingin bersama memperjuangkan Islam.

Syarat untuk menjadi ahli PAS sangat mudah;
Pertama Islam
Kedua baligh dan
Ketiga rakyat Malaysia.

Dalam era kebangkitan PAS pada penghujung 90-an, parti ini menerima ribuan permohonan keahlian baru setiap bulan. Jualan akhbar Harakah ketika itu mencecah 300,000 naskhah, menunjukkan betapa ramainya manusia yang ingin menjadi ahli PAS.

Suatu waktu dahulu, mereka yang menyertai PAS hanya terdiri daripada golongan ulama', agamawan dan mereka yang cenderong dalam bidang agama Islam sahaja. Tetapi kini mereka terdiri dari pelbagai latar belakang.

Ada yang merupakan bekas ahli Umno, ada yang merupakan bekas pendokong jemaah Islam yang lain seperti JIM, Abim, Arqam dan sebagainya. Tidak kurang juga mereka yang menyokong PAS hanya kerana tak bersetuju dengan Umno.

Penyertaan yang pelbagai ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kesinambungan perjuangan PAS. Secara nyata, suatu ketika dahulu di dalam majlis ceramah PAS, hanya ada laungan takbir, doa wehdah dan slogan-slogan mengutuk kezaliman dan asabiah. Kini ceramah PAS sudah diwarnai dengan bunyi gemuruh tepuk tangan (walaupun ianya tidak menjadi budaya dalam gerakan Islam).

Di satu sudut, ada suara yang mengkritik mengatakan PAS sudah berubah dari matlamat asal perjuangan. Namun di sudut yang lain, PAS kini sudah berjaya memecah tembuk untuk menyampaikan suara Islam kepada segenap lapisan masyarakat. Kaum Cina dan India yang suatu waktu dahulu amat jauh dengan PAS, kini mereka sudah biasa duduk bersama orang Islam hingga tengah malam bagi mendengar ceramah PAS.

Suatu waktu dahulu mereka sangat gerun dengan Al Quran. Gerun kerana menganggap ia sebagai sebuah buku yang ada kuasa ajaib seperti ilmu sihir dan gerun kerana digambarkan Al Quran sebagai sebuah kitab yang menganjurkan keganasan. Namun kini mereka sudah mula membaca Al Quran untuk mengetahui isi kandungannya.

Siapa tidak kenal Ahli Parlimen Padang Serai (PKR), N Gobala Krishnan yang sering membaca ayat وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ dan hadith قل الحق ولو كان مراً. Timbul pula isu Ahli Parlimen Taiping (DAP) Nga Kor Ming yang sering membaca ayat 90 surah An Nahli (Utusan kata Surah Aura) إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ dalam usaha beliau menuntut pihak lawan supaya berlaku adil dan berbuat ihsan.

Kini muncul seorang lagi tokoh, Bala Subramaniam, pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat merangkap pengerusi Kelab Penyokong PAS India Pahang. Dalam ceramahnya di Jengka baru-baru ini, beliau memulakan ceramahnya dengan memberi ucapan salam yang sempurna diikuti dengan muqaddimah الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين ربّ يسر ولا تعسر يا كريم.

Dalam masa berceramah beliau menunjukkan kemampuannya menghuraikan beberapa potong ayat Al Quran yang mengatakan jika kamu meninggalkan agama Islam dan enggan memperjuangkannya, maka Allah akan datangkan kaum lain, mungkin juga kaum India, yang akan menegakkan agama ini.

Beliau seterusnya menyeru supaya jangan cenderong menyokong orang yang zalim kerana Allah memberi amaran di dalam firman-Nya dalam surah Hud ayat 113: وَلاَ تَرْكَنُواْ إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ

Bala bukan sekadar menyokong PAS. Bahkan turut belajar hukum hakam agama Islam. Beliau amat mahir berbicara tentang syarat-rukun ibadat2 dalam Islam hingga mampu membuat perumpamaan orang yang berbuat baik, tapi menyokong kezaliman seumpama orang yang sembahyang, tapi tak ambil wudhuk!

Pada hari raya korban tahun lalu, Bala dengan rendah diri memohon untuk turut sama menyertai ibadah berkenaan bersama umat Islam. Bukankah ini satu lagi peluang dan ruang dakwah Islam agar ia dapat berkembang.

Tuan Guru Nik Abd Aziz pernah ditanya, bagaimana PAS boleh tegak negara Islam melalui sistem demokrasi sedangkan peratusan orang Melayu hanya sekitar 50% sahaja. Beliau menjawab, "Kenapa kita hanya tumpu orang Melayu? Kenapa kita tidak gambarkan suatu ketika nanti Islam akan bangkit di Malaysia di tangan orang Cina, Islam tertegak di Malaysia dengan perjuangan orang-orang India? Islam tak sebutpun hanya orang Melayu yang boleh bawak Islam."

Bayangkanlah andainya PAS bersikap seperti satu dua jamaah lain yang menghadkan keahlian mereka hanya kepada golongan elit tertentu sahaja, bagaimana agaknya orang India dan Cina akan mendekati PAS?

No comments:

Post a Comment