Thursday, May 7, 2009

ADABUL-KHILAF DALAM JAMAAH














Dalam perbincangan Fiqh Islami, kita diajar tentang ikhtilaf fuqaha’ (اختلاف فقهاء). Islam mengizinkan berikhtilaf dan berbeza pendapat dalam perkara yang tiada nas (نص), atau wujud dua atau lebih Nas yang kelihatan bertentangan. Hakikatnya nas Al Quran dan Hadith sama sekali tidak bertentangan, cuma akal manusia yang tidak mampu memikir dan memahaminya. Lalu wujudlah ikhtilaf dan beza pendapat antara ulama’.

Bahkan wujud juga ikhtilaf dalam usul fiqh sama ada hendak mentaqdimkan (mengutamakan) kaedah jama’ (gabung) antara dua nas yang nampak bertentangan, atau hendak menggunakan kaedah mentarjih salah satu dari dua nas itu. Sama ada hendak mengutamakan hadith yang mutlaq atau yang muqayyad, yang am atau yang khas dan sebagainya. Bermula dari kaedah istinbat hukum yang berbeza, maka lahirlah hukum yang berbeza mengikut ijtihad masing-masing.

Ikhtilaf jika dilangsungkan dengan memelihara adabul khilaf (adab berbeza pendapat) bukanlah suatu yang mazmum, bahkan Nabi Muhammad SAW menyatakan, “Khilaf di kalangan umatku adalah suatu rahmat.”

Ikhtilaf fuqaha’ ini telah menghasilkan beberapa mazhab fiqh yang utama, termasuk yang kekal hingga hari ini, Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali (susunan mengikut senioriti). Memang ada pengikut Hanafi yang menghentam Syafie, pengikut Maliki yang memaki Hanbali dan sebaliknya. Tetapi perbuatan keji itu bukanlah maudhu’ (tajuk) yang diajar oleh pelopor pemikiran ini (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam As Syafie dan Imam Ahmad).

Bahkan sejarah mencatatkan betapa beradabnya tokoh-tokoh ini, walaupun hujah mereka sangat mantap, namun dengan rendah diri mereka berkata, “Andai kamu temui hadith yang sahih bertentangan dengan pendapatku, maka lontarkan pendapatku ke dinding dan berpeganglah kepada hadith yang sahih itu...” Inilah yang dikatakan adab.

Antara tokoh-tokoh fuqafa’ yang berikhtilaf dalam sesuatu perkara itu, pasti ada yang pendapat mereka tepat dengan kehendak Allah dan pasti ada juga yang tidak tepat. Adakah dek kerana tidak tepatnya pendapat mereka dengan kehendak Allah, lalu kita boleh menghentam, memaki, mengumpat dan mencerca mereka serta mengatakan sesat kepada mereka?

Tidak begitu! Biarpun ijtihad mereka salah, mereka tetap mendapat anugerah Allah. Berdasarkan hadith من اجتهد orang yang tersilap dalam ijtihadnya di sisi Allah adalah tidak berdosa. Bahkan mereka diberi ganjaran separuh daripada ganjaran yang diperoleh mereka yang tepat ijtihadnya.

Diriwayatkan, Imam As Syafie (Muhammad bin Idris) yang dinisbahkan Mazhab Syafie kepadanya pernah berkunjung ke Kota Baghdad di Iraq. Penduduk Iraq bermazhab Hanafi. Ketika As Syafie menunaikan solat, beliau tidak mengangkat tangan apabila bangkit daripada rukuk, sedangkan beliau berpendapat mengangkat tangan ketika i’tidal itu hukumnya sunat.

Seusai solat, beliau ditanya orang, “Adakah tuan sudah membatalkan fatwa terdahulu?” “Tidak. Ia adalah satu penghormatan kepada penghuni kubur ini.” Katanya sambil menuding jari ke arah kubur Imam Abu Hanifah.

Imam Abu Hanifah sendiri mempunyai dua orang anak murid yang bertaraf mujtahid dan mampu membina aliran fiqh sendiri iaitu Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin Hasan As Syaibani. Dalam banyak masalah fiqah, kedua-dua tokoh ini mempunyai pandangan yang hampir sama dengan pandangan Imam As Syafie dan banyak perkara yang mereka terpaksa ‘sembah derhaka’ dengan Imam Abu Hanifah, guru mereka.

Namun mereka sekali-kali tidak pernah keluar daripada jamaah Imam Abu Hanifah. Hingga hari ini, mereka menjadi rujukan utama bagi umat Islam yang bermazhab Hanafi. Inilah adab orang dahulu dengan guru mereka dan dengan ulama’ (walaupun mereka juga ulama’ yang hebat).

Perkara ini perlu ditaladani oleh pendokong gerakan Islam hari ini. Soal berbeza pendapat antara ulama’ yang memimpin gerakan Islam adalah perkara biasa. Perkara yang mereka khilafkan bukanlah perkara ‘ma’lum minaddin biddharurah’. Mereka tidak berikhtilaf dalam perkara wajibnya solat, puasa dan haji. Mereka tidak bercanggah pendapat dalam menyatakan wajibnya menegakkan daulah Islamiah, wajibnya berjuang dan berjihad menegakkan agama Allah, wajibnya menentang pemimpin yang zalim dan lain-lain.

Mereka hanya berikhtilaf dalam soal furu’ (cabang) yang tidak ditetapkan secara jelas di dalam Al Quran dan Sunnah. Mereka ikhtilaf dalam soal pendekatan, strategi, eksploitasi dan sebagainya. Kita berhak untuk cenderung kepada mana-mana pandangan berdasarkan hujah dan pendalilan (istidlal) yang paling kukuh. Kita boleh tidak bersetuju dengan mana-mana pandangan yang kurang rasional.

Namun itu bukan bermakna kita perlu meletakkan ulama’ itu sebagai musuh. Itu juga bukan bermakna kita perlu melakukan inqilab (revolusi) untuk menjatuhkan ulama’ itu dari tampuk kepimpinan. Bukan juga bermakna kita terdorong untuk mengambil alih kepimpinan dari tangan ulama’ berkenaan.

Justeru, kena ada rasa rendah diri dengan ulama’. Perlu ada kesedaran, siapa kita berbanding ulama’. Sebusuk-busuk ulama’ mereka berhujah ada landasan dan sandarannya. Mereka tidak berhujah menurut hawa nafsu seperti manusia lain. Ijma’ mereka diiktiraf Allah menjadi hukum. Ijtihad mereka membuahkan pahala, walaupun tersilap.

Sedangkan kita yang bukan ulama, bukan mujtahid ini bagaimana? Apa yang dapat. Mengkritik ulama dapat dosa. Lawan ulama’ sia-sia. Benci ulama’, tunggulah akibatnya...


No comments:

Post a Comment