Thursday, May 28, 2009

PAS LEBIH DAHULU TENTANG KOMUNISME


Tak semena-mena tiba-tiba je muncul isu Chin Peng. Kami melihat isu ini sengaja dimainkan oleh pihak berkenaan untuk menutup isu kekejaman, kezaliman, barbarian, primitive Umno dan BN khususnya di Perak.

Setidak-tidaknya mereka berjaya menggerunkan sebahagian rakyat Malaysia [termasuk yang kononya terpelajar] terhadap kepimpinan Tuan Haji Nizar Jamaluddin. Nizar digambarkan sebagai pemimpin proksi DAP atau boneka Cina. Kebetulan pula Nizar pernah bersekolah di ‘sekolah Cina’ dan petah bertutur dalam bahasa Mandarin.

Dengan membangkitkan isu ini, sudah mula kedengaran rakyat yang bersuara, “Patutlah kerajaan tak nak bubarkan DUN Perak. Kalau bubar, bukan PAS yang menang, bukan Umno yang Berjaya. Tapi yang akan bersorak ialah geng-geng Chin Peng!” Betapa dangkalnya pemikiran!

Sedikit demi sedikit PAS cuba diheret oleh media untuk disinonimkan dengan komunisme. Era keterbukaan PAS kini menguatkan lagi hujah mereka kononnya PAS mahu berkawan dengan sesiapa sahaja yang boleh memberikan keuntungan politik termasuk komunis.

Satu perkara yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, PAS adalah sebuah parti, jamaah dan gerakan yang dibina berpaksikan aqidah yang sohih. Lantaran itu PAS menolak semua fahaman dan ideologi yang bercanggah dengan aqidah Islam, termasuk komunisme.

Komunisme dilahirkan oleh Karl Marx (5 May 1818 – 14 March 1883), lelaki Yahudi yang berasal dari Jerman. Jika dibuat kajian yang mendalam, kita akan dapati Yahudilah yang mengasaskan kebanyakan ideologi politik yang bercambah dalam dunia ini. Kaum yang sesat dan cuba menyesatkan orang lain.

Karl Marx bukanlah seorang pujangga, ahli fikir atau cendekiawan yang hebat. Ketika di Universiti Bonn, beliau terkenal sebagai seorang yang gagal dalam pelajaran kerana sering mabuk.

Komunisme memperjuangkan hak sama rata, masyarakat tanpa kelas serta tidak terikat dengan mana-mana agama, khususnya Islam. Dalam kitab karutnya (Das Capital), Karl Marx menggunakan ungkapan, ‘Agama Candu Masyarakat’ untuk menunjukkan kebenciannya kepada agama.

Jika begitu jauh sesatnya komunis, masakan PAS boleh terpengaruh. PAS boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja. Tetapi PAS tidak akan menggadai prinsip perjuangan. Kerana PAS sentiasa ‘dikawal’ oleh pakar-pakar dalam bidang agama Islam (ulama’).

Di bawah kepimpinan ulama’, PAS terus berdiri gagah mendepani cabaran yang mendatang. Semua parti orang Melayu / Islam yang seusia dengannya telah berkubur selain PAS. Umno pun dah diharamkan 1988 lalu.

Lu pikir la sendiri.







"Hoi Najib, engko tu lebih kurang sama je dgn aku... Ingat pakai serban tu org tak kenal ke?" Karl Marx








BALA PPSMI


Seorang ahli PAS memberitahu, beliau pernah bertugas sebagai guru sementara di sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil. Antara kesukaran yang terpaksa dihadapi olehnya ialah komunikasi dengan murid-murid tahun 1 dan 2.

Ini kerana beliau murid-murid berkenaan tidak faham Bahasa Melayu. Beliau terpaksa memanggil guru berbangsa India untuk men'translate'kan pengajarannya ke dalam bahasa Tamil.

Ini cerita 10 tahun lalu. Kini pelajar Melayu pula terpaksa berhadapan dengan situasi sebegini sejak PPSMI diperkenalkan. Berapa ramai anak Melayu yang faham teori sains, tetapi tidak lulus matapelajaran berkenaan kerana tidak faham soalan yang dicetak dalam Bahasa Inggeris.

Gambar yang disertakan ini adalah contoh kertas jawapan seorang anak Melayu terhadap beberapa soalan sains yang sangat 'simple'. Tetapi dia tak dapat jawab sebab tak faham BI.....

Lu pikir la sendiri....

Wednesday, May 27, 2009

INGATAN USTAZ IDRIS

JANGAN JADI 'USTAZ DAUN KARIPOLE'


Karipole (istilah utara) @ Daun Kari (istilah kebangsaan) @ Murraya Koenigii (istilah saintifik)

Golongan ulama', ustaz dan mereka yang berpendidikan agama dinasihatkan supaya tidak membiarkan diri mereka menjadi batu loncatan kepada Umno untuk mencapai sesuatu tujuan politik mereka.

Sejarah membuktikan bahawa Umno tidak memerlukan golongan agama kerana mereka bukan sebuah parti yang memperjuangkan cita-cita Islam. Golongan agama hanya digunakan untuk menjawab isu-isu tertentu sahaja, terutama ketika berhadapan dengan pengaruh PAS yang sememangnya memperjuangkan Islam.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam ceramahnya di Markaz PAS Cawangan Chegar Medang Selasa lepas.

Beliau yang kesal dengan perkembangan terbaru sahabat lamanya, Mejar Jeneral (B) Jamil Khir yang dilantik menjadi Menteri Di Jabatan perdana Menteri dan ahli Badan Perhubungan Umno Kedah berkata, ulama' dan para ustaz perlu menjauhkan diri mereka daripada dipergunakan oleh Umno. Setelah Umno mencapai apa yang dihajati, ulama'-ulama' ini akan dibuang dan tidak dihargai.

"Jangan jadi 'ustaz karipole' (daun kari). Masa masak kari, daun karipole dimasukkan untuk menaikkan bau dan aromanya. Tetapi masa nak makan nanti, daun itu akan dikais ke tepi," kata beliau.

Menurutnya, Jamil pernah berkata bahawa beliau tidak 'ke sana' dan tidak 'ke sini' dengan maksud, tidak menyokong Umo dan tidak menyokong PAS.

Dengan nada sinis, Ustaz Idris berkata, "Kalau begitu, dua alam lah... Binatang 2 alam ni tak boleh dimakan. Atau macam duyung. Walaupun muka cantik, tapi tak boleh nak kahwin sebab ekor dia ikan. Walaupun ekornya besar, tapi tak boleh nak goreng untuk 'mentekedaghah' sebab kepala dia orang."


Monday, May 25, 2009

KALAU BEGINI, BILA LA BUDAK DADAH NAK INSAF!

Khabarnya.... Pusat Serenti Karak yang kini dikenali sebagai PUSPEN (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik) kini semakin tenat sejak kedatangan kem komandan yang baru dan selepas perpindahan Ustaz Hidayat.

Khabarnya.... Aktiviti keagamaan semakin berkurangan. Bahkan aktiviti solat berjamaah juga sudah tidak lagi menjadi keutamaan. Solat subuh hanya ada 3-4 orang sahaja.

Khabarnya.... pelatih-pelatih ini memang tidak dibenarkan ke masjid kerana dibimbangi mereka akan menggunakan kesempatan itu untuk memboloskan diri keluar daripada kem.

Khabarnya.... banyak lagi lah khabar-khabar yang sampai ke DPPKB berkaitan Puspen Karak ini. Saya mengharapkan 'khabar-khabar' ini tidak benar. Saya harap tak betul berita ini.

TAPI kalau betul, cuba fikirkan....

Jika aktiviti keagamaan dikesampingkan hanya dengan alasan untuk mengelak budak-budak itu daripada melarikan diri, maka apa lah yang boleh masyarakat harapkan daripada Puspen untuk memulihkan anak-anak yang malang itu.

Pemimpin kem perlu sedar, hanya menerusi kaedah Islam sahaja pemulihan itu boleh berjaya. Sudah puluhan tahun Serenti wujud. Sudah banyak kali ia ditukar nama. Namun angka 70-80% kekal sebagai angka penagih mengulang semula kegiatan mereka selepas tamat latihan di Serenti.

Pemimpin kem perlu fikir, kenapa pusat-pusat pemulihan persendirian yang menggunakan pendekatan agama lebih berkesan, sedangkan mereka tidak ada kawalan ketat, tidak ada polis pacak, tidak ada pagar tinggi melangit macam pagar Puspen Karak tu....



Saturday, May 23, 2009

PENGUMUMAN

26.5.2009
SELASA

Lepas Maghrib:
Kuliah Tuan Guru Haji Mohd Baqi Osman

Lepas Isya':
Ceramah oleh Ustaz Idris Ahmad

Di Markaz Chegar Medang

APA DAH JADI DATUK HARUS?

Hari ini, Utusan melaporkan Mufti Perak, Datuk Harussani mengecam tindakan pihak kerajaan Perak dalam buangan pimpinan Ir Nizar untuk adakan mogok lapar. Antara ayatnya (seperti yang disiarkan di Utusan Online):

''Kenapa hendak datangkan masalah, kalau menang belah dia tidak apa tetapi apabila kalah hendak bangkang," katanya ketika dihubungi semasa berada di Mekah, di sini hari ini.

Apabila ditanya mengenai hukum mogok lapar, dengan penuh emosional dia kata, "Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya,".

Saya tak tahu adakah ini kata-kata beliau yang sebenar, atau ia hanya olahan pengarang Utusan. Saya bersangka baik, beliau tidak berkata begitu.

Tapi kalau memang beliau berkata begitu, amat malang sekalilah. Kalau dulu rangkingnya sangat tinggi ketika menentang gejala murtad. Kini reputasinya menurun begitu mendadak sekali.

Persoalan:
1. Hukum mogok lapar, tak ada kena mengena dengan hukum Islam? Mungkin disebabkan beliau tidak terlibat dengan gerakan Islam, maka beliau tidak terdedah dengan perbincangan tajuk ini. Bagi gerakan Islam, apabila mogok lapar diadakan, mereka akan berniat puasa sunat. Macam mana datuk nak kata tak ada kena mengena dengan hukum Islam.

2. Adakah hukum bergantung kepada keputusan mahkamah. Datuk kata, "kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya." Sejak bila hukum Islam diputuskan berdasarkan keputusan mahkamah sekular?


Friday, May 22, 2009

"DRAMA POLITIK AKAN DATANG"

"Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi awal Januari 2010, Najib Tun Razak yang baru pulang ke rumah rasminya di Putrajaya tiba-tiba dikejutkan dengan satu surat dari Duli Yang Mulia Yang DiPertuan Agung ( YDPA ) bahawa beliau dan Rosmah hendaklah mengosongkan rumah rasminya kerana YDPA telah melantik orang lain sebagai Perdana Menteri menggantikan beliau.

Alasan YDPA di dalam surat tersebut adalah ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat ( PR ) dan beberapa ahli BN yang mula menyokong PR telah berjumpa YDPA di Istana dan menyatakan bahawa mereka tidak lagi yakin dengan Najib dan mahu orang lain sama ada Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang atau Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Surat YDPA juga menyatakan bahawa jika Najib tidak meletak jawatan beliau hendaklah dipecat dari jawatannya sebagai Perdana Menteri.Najib merengus marah manakala Rosmah berteriak macam orang yang kena histeria. Najib yang masih marah dan berang berkata:
“Macam mana Tuanku dengan sewenang-wenangnya memecat patik sedangkan Parlimen tidak mengadakan apa-apa sidang atau membawa apa-apa usul atau undi tidak percaya kepada patik. Patik tidak nampak mana –mana peruntukkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Tuanku untuk memecat patik sebagai Perdana Menteri. Macam mana patik boleh dengan mudah dipecat dan sebagai ganti dilantik orang lain sebagai Perdana Menteri sedangkan tidak ada sebarang undi tidak percaya diluluskan di Parlimen ke atas patik.”

Keluhan Najib didengar dengan tenang oleh YDPA. YDPA dengan senyum berkata kepada Najib, “Adakah tuan hamba sudah lupa bahawa pada 22 hb Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam 3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif ( Y.A ) Dato Raus Sharif, Y.A Dato Ahmad Maarof dan Y.A Dato’ Zainon Ali telah sebulat suara memutuskan antara lain bahawa:

a. Seorang Menteri Besar (di peringkat Negeri) atau Perdana Menteri (PM) di peringkat Pusat secara tersirat boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau YDPA memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN atau Ahli-Ahli Parlimen.

b. Perkara 16 (6) Perlembagaan Perak atau Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan majoriti ADUN atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya (votes of no confidence).

c. Kes Stephen Kalong Ningkan (1966) iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya tidak boleh lagi dipakai.

YDPA seterusnya menambah: “Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang tuan hamba inginkan bagi meraih keuntungan politik jangka pendek tuan hamba dan parti tuan hamba. Bukankah tuan hamba yang berkeras tidak mahu mendengar keluhan rakyat dan pemimpin partai komponen tuan hamba sendiri supaya krisis di Perak diselesaikan secara aman dan melalui amalan demokratik iaitu dengan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya semula di Perak.

Maaf tuan hamba, Beta terikat dengan keputusan tersebut dan tidak boleh buat apa-apa. Maka Beta dengan ini memerintahkan tuan hamba dan sekeluarga keluar dari rumah rasmi Perdana Menteri kerana tuan hamba bukan lagi Perdana Menteri Malaysia."

Najib tersentak dan lemah segala sendi manakala Rosmah pula terkaku dan jatuh pengsan. Tiba-tiba mereka sedar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini kini telah makan diri. Jika keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Y.A Dato’ Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan doktrin Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy) keputusan Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendikiawan undang-undang telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak (Absolute Monarchy).

Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan."

Sketsa di atas adalah , bagi saya, cara terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini.Sebagai seorang anggota pasukan peguam Nizar, saya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

Tapi saya tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat khususnya rakyat di Perak.Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat. Inilah masalahnya apabila sesebuah institusi dalam sebuah negara sudah hilang keabsahan (legitimacy ).

Di negara ini apabila BN memerintah terlalu lama dan keabsahan parti tersebut dipertikaikan turut sama terpalit adalah institusi keadilan seperti Mahkamah , Peguam Negara dan polis. Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan , maka sebarang keputusan Mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu keputusan yang adil dan telus.Sejak dari awal rakyat sudah nampak macam ada sesuatu yang tidak kena kepada cara kes rayuan Zambry dikendalikan. Zambry kalah di Mahkamah Tinggi pada 11/5/2009.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zambry bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman.Pada 12/5/2009 di sebelah pagi Zambry membuat permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman. Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran permohonan Zambry pada pagi hari yang sama.

Tarikh pendengaran yang diberikan dengan tergesa-gesa sudah tentu memprejudiskan Nizar dan pasukan peguamnya bagi membuat persiapan yang teliti dan mendalam.Pada tengah hari 12 hb Mei itu juga Y.A Hakim Dato Ramly membenarkan permohonan Zambry dan perintah diberikan tanpa sebarang syarat.

Nizar membuat permohonan bagi membatalkan perintah penggantungan yang diberikan kepada Zambry. Mulanya permohonan Nizar ditetapkan pada 18/5/2009 tetapi kemudiannya ditangguhkan pada 21/5/2009 iaitu pada hari yang sama rayuan Zambry didengar. Sudah tentu permohonan Nizar tidak lagi relevan untuk didengar atau seperti yang sering dikatakan ianya menjadi akademik.21 hb Mei rayuan Zambry didengar dengan hujah lisan dan bertulis dikemukakan oleh pihak–pihak secara mendalam.

Mahkamah hanya ambil masa satu hari sahaja untuk putuskan. Memang hebat Mahkamah boleh buat keputusan dalam masa satu hari.

Tetapi cuba kita bayangkan jika kita menghantar baju untuk dijahit dan tukang jahit siapkan baju kita dalam satu hari- saudara boleh bayangkanlah tahap kualiti baju tersebut .Suatu yang amat mengharukan kami (pasukan peguam Nizar) adalah meskipun Nizar kalah namun sambutan rakyat kepada kami di Mahkamah Rayuan hari ini seolah-olah menunjukkan Nizar yang menang dan bukannnya Zambry.

Untuk rakan pasukan peguam Nizar iaitu Tuan Haji Sulaiman Abdullah, Philip Khoo, Ranjit Singh, Razlan Hadri, Nga Hock Cheh, Chan Kok Keong, Mr .Leong, Edmond Bon, Amir Arshad dan Zulkarnain Lokman ingatlah keputusan hari ini tidak akan mematahkan semangat kita sebaliknya ia memberi semangat baru kepada kita untuk terus berjuang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.

Kita jumpa lagi di Mahkamah Persekutuan insya’Allah.

Peguam Hanipa Maidin

JOM KE DONG WEH...

CERAMAH ISU PERAK

OLEH PEGUAM-PEGUAM:
HANIPA MAIDIN
HARIS ABDULLAH
FADLY RAMLY
DI KG DURIAN SEBATANG, DONG, RAUB
23 MEI 2009
SABTU
JAM 9.00 MALAM

3 HAKIM SEPAKAT TOLAK NIZAR

PUTRAJAYA, 22 Mei (Hrkh) - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah dengan undian tiga hakim memberi keputusan menyebelahi Zambry.

Hakim Dato' Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Dato' Zainun Ali dan Hakim Dato' Ahmad Maarop memberi keputusannya itu jam 3.50 petang tadi.

Semalam, panel tiga hakim itu mendengar selama tujuh jam penghujahan oleh tiga pihak yang terlibat terdiri Zambry, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah.

Permohonan Nizar agar rayuan itu didengar oleh panel lima hakim telah ditolak.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim menetapkan bahawa Nizar tidak melepaskan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri Perak.

Berhujah bagi pihak Nizar, peguam Sulaiman Abdullah, berkata mengikut Perkara 16(6) Perlembagaan Perak, Menteri Besar tidak memegang jawatan atas perkenan Sultan.

Tetapi tambahnya, berdasarkan keyakinan anggota dewan undangan negeri, yang beliau mempunyai tanggungjawab terhadap mereka.

"Oleh yang demikian, Nizar tidak boleh dipecat oleh Sultan. Nizar hanya boleh dipecat selepas undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota dewan undangan negeri," katanya.

Sulaiman berkata Hakim Abdul Aziz bertindak betul apabila beliau mengguna pakai keputusan dalam kes bekas Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan iaitu satu-satunya cara bagi memecat Nizar daripada jawatan ialah melalui undi tidak percaya.

"Oleh itu, kami menyatakan bahawa tidak ada sebab bagi mahkamah ini untuk tidak mengikut dan mengguna pakai kes Ningkan bagi kes kami ini," katanya.

"Sama ada Menteri Besar berkenaan telah tidak lagi mendapat keyakinan majoriti, bukan diputuskan oleh rakyat Perak, dan bukan juga diputuskan oleh Sultan, tapi hanya diputuskan oleh anggota dewan undangan negeri yang dipilih," kata Sulaiman.

Sulaiman mengakhiri sesi penghujahan sebelum mahkamah ditangguhkan pukul 5 petang semalam.

Sementara itu di sebelah paginya peguam Dato' Cecil Abraham yang mewakili Zambry, menyenaraikan 24 alasan bagi membuat rayuan, dengan meminta mahkamah membuat ketetapan mengenai sembilan isu.

"Soalnya ialah sama ada hakim yang mengendalikan kes itu membuat tafsiran yang betul mengenai Perkara 16, 18 dan 36 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak. Saya ingin berhujah bahawa Yang Arif Hakim berkenaan telah terkhilaf," katanya.

Beliau berkata Perkara 16 amat jelas bahawa apabila seorang Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan, dia perlu meletak jawatan.

"Ia tidak menyatakan beliau mesti kembali ke Dewan (untuk hadapi undi tidak percaya)," katanya.

Beliau berkata hakim berkenaan juga tersilap kerana mengandaikan bahawa Sultan Perak tidak ada kuasa untuk memastikan sama ada terdapat satu kebuntuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sama ada Nizar telah hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan.

"Kami juga ingin mengemukakan di sini bahawa undi tidak percaya bukanlah satu-satunya jalan untuk memastikan bahawa responden (Nizar) tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota," katanya.

Cecil berhujah bahawa mengikut Perlembagaan, tidak ada peruntukan khusus supaya undi tidak percaya diluluskan oleh DUN bagi memastikan Menteri Besar telah kehilangan kepercayaan.

Dalam penghujahannya, Cecil juga berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusannya tanpa mengambil kira fakta tepat dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan kes itu.

"Penghakiman itu, secara menyeluruh, tidak mengambil kira fakta dan dokumen berkenaan dan ini menjadikan pengisytiharan yang dibuat Mahkamah Tinggi, adalah silap," katanya.

Cecil berkata, bukti dokumen menunjukkan tidak wujud kebuntuan dalam politik Perak sebelum Nizar menghadap Sultan Perak pada 4 Feb.

"Ini kerana, pada 3 Feb, tiga anggota dewan undangan negeri Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang), telah mengemukakan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan kepada baginda bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap Nizar dan berikrar menyokong Barisan Nasional.

"Surat berkenaan diterima Sultan pada pukul 3 petang, iaitu sebelum Sultan menerima menghadap Nizar pada pukul 5 petang.

"Sehingga 5 petang semalam, apabila Nizar memohon pembubaran itu, bagaimanakah keadaan politik di Perak ketika itu? Yang Arif hakim perbicaraan telah gagal menimbangkan dan mengambil kira sepenuhnya perkara ini dalam penghakiman beliau," kata Cecil.

Sementara itu, Abdul Gani berkata Nizar tidak boleh mendakwa beliau mendapat keyakinan majoriti kerana terdapat jumlah undi sama banyak iaitu 28 bagi keduadua pihak (Pakatan dan Barisan Nasional).

"Dalam kes ini, 50-50. Ia bererti tidak ada majoriti atau minoriti. Malah, responden (Nizar) mendapat 28 undi, termasuk Speaker V.Sivakumar, tapi mengikut peraturan tetap, speaker tidak boleh mengundi," katanya.

Abdul Gani juga berkata apabila Nizar menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb, beliau mengaku berlaku kebuntuan dalam dewan undangan negeri itu.

"Kebuntuan bererti tidak ada undi majoriti atau minoriti. Bagaimana pula, pada mulanya, Nizar berkata beliau mendapat undi majoriti, tapi pada waktu yang sama, mendakwa wujud kebuntuan," katanya.

Selepas selesai perbicaraan semalam, Nizar berkata beliau yakin akan sokongan rakyat Perak terhadapnya.

"Apa yang kami minta ini adalah untuk mereka dan apa yang kami lakukan ini hanyalah untuk mendapatkan keadilan melalui proses mahkamah," katanya.

Terdahulu sebelum persidangan bermula, barisan peguam kedua-dua pihak mula memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi tadi.

Nizar tiba kira-kira 15 minit kemudian bersama isteri dan beberapa penyokongnya.
Pasukan polis kelihatan mula melakukan kawalan sejak awal pagi.

Isu perundangan melibatkan Zambry dan Nizar telah bermula sejak Februari lalu apabila Dr Zambry telah dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Nizar selepas BN mengambil alih pemerintahan Perak daripada Pakatan Rakyat.

Berikutan itu, pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Kemudiannya pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga kes rayuan Zambry selesai.

Nizar keesokannya pula membuat permohonan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu bagi penangguhan pelaksanaan itu.

Thursday, May 21, 2009

PERISTIWA DI MAHKAMAH SIANG TADI

Kes : Rayuan Zambry untuk mengetepikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada 11 Mei yang mengesahkan status Datuk Seri Ir Mohamad Nizar sebagai Menteri Besar Perak

Tarikh :
21.5.2009
Hari : Khamis
Tempat : Putrajaya
Mahkamah : Mahkamah Rayuan
Hakim : Datuk Md Raus Sharif
Datuk Zainun Ali
Datuk Ahmad Maarop
Peguam Zambry: Datuk Cecil Abraham
Peguam Ir Nizar: Sulaiman Abdullah
Peguam Pencelah: Tan Sri Abdul Gani Patail



[9.30 am] - Mahkamah Rayuan memulakan sidang untuk mendengar penghujahan peguam-peguam Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Peguam Zambry, Datuk Cecil Abraham memulakan penghujahan. Tiada suatu yang baharu diutarakan. Sama sahaja dengan hujah dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 11 Mei lalu. Beliau merujuk kepada bilangan kerusi DUN Perak yang dikatakan sudah memberi sokongan majoriti mudah (simple majority) kepada BN. Dr Zambry tidak hadir di mahkamah dan dipercayai berada di Teluk Intan. Peguam Negara juga tidak kelihatan di dalam mahkamah.

[12.10 pm] - Perbicaraan disambung kembali dan bilamana panel hakim membenarkan Peguam pencelah yang mewakili Zambry mengemukakan hujahnya. Pada satu masa, Ghani Patail telah ditegur apabila beliau salah menafsirkan maksud Menteri Besar pada artikel 10 Undang-undang Tubuh Kerjaan Negeri Perak. Panel tiga Hakim menjelaskan tafsiran sebenar Menteri Besar menurut artikel itu ialah Menteri Besar bersama Exconya. Sesudah Peguam Negara menyelesaikan hujahnya dijangka akan disambung oleh ketua panel Peguam Datuk Seri Nizar iaitu Sulaiman Abdullah.

[1.10 pm] - Peguam Nizar, Suiaiman Abdullah meminta penangguhan sidang dan bersambung kepada jam 2.00 petang bagi makan tengahhari dan rehat. Sementara itu sekitar jam 10.00 tadi kelihatan Exco Haram, Hamidah Osman bersama sekitar 10 orang lelaki bersongkok tinggi sampai di sini dan beredar setelah mahkamah ditangguh dan mungkin akan muncul semula sekitar jam 2.00 petang nanti.

[2.10 pm] - Sebentar tadi peguam Datuk Seri Nizar, Sulaiman Abdullah memulai hujah dengan penuh keyakinan meneruskan perbicaraan sessi petang yang ditangguhkan tadi. Pada sessi petang ini Peguam Negara (AG) masih tidak muncul dalam kamar bicara. Mereka yang kelihatan cuma Timbalan dan Peguam-Peguam dari Pejabat Peguam Negara.

[3.30 pm] - Peguam Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Sulaiman Abdullah berhujah sekiranya hujah peguam Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Datuk Cecil Abraham dan peguam pencelah, Tan Sri Gani Patail diterima, Perdana Menteri boleh disingkir oleh Yang Dipertuan Agong kerana tidak mendapat sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional “Sekiranya Sultan mempunyai kuasa untuk menyingkir, sekiranya ada, ia semestinya terletak dibawah Artikel 18 tetapi jelas tidak ada! Tidak juga terdapat di mana-mana!” "Hanya satu sahaja cara untuk menyingkir Menteri Besar iaitu dengan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri," hujah Sulaiman di depan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebentar tadi.

[3.40 pm] - "Tidak timbul persoalan Nizar perlu menghantar surat perletakan jawatan kerana undi tidak percaya tidak pernah dibuat," hujah Sulaiman Abdullah. Penghujahan peguam Datuk Seri Nizar Jamaluddin nampak lebih konsisten dan mempunyai fakta yang kukuh serta berlandaskan perlembagaan.

[3.45 pm] - Hujah Sulaiman Abdullah lagi: "Kami bukan menyanggah kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan tetapi adalah tidak masuk akal untuk mengatakan Nizar sudah hilang kepercayaan dan terus menyuruhnya meletakkan jawatan."

[4.00 pm] - Sulaiman Abdullah berhujah Datuk Seri Nizar Jamaluddin menghadap Sultan Perak untuk memohon pembubaran DUN mengikut peruntukan Perkara 36(c) Undang-Undang Tubuh Perak, bukan mengikut Perkara 16 (6) seperti yang dihujahkan Datuk Cecil Abraham. Sulaiman meminta para hakim supaya tidak terpengaruh dengan keputusan penghakiman yang lepas-lepas.

Sulaiman Abdullah selesai berhujah. Ranjit Singh pula memulakan hujah menyokong hujah-hujah Sulaiman. "Apa yang difikirkan oleh Tuanku semasa pertemuan tersebut tidak penting. Apa yang difikirkan oleh Nizar itu yang relevan," kata beliau.

[4.12 pm] - Ranjit Singh sudah selesai berhujah. Sekarang Datuk Cecil Abraham membuat penggulungan bagi pihak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Di luar mahkamah penyokong kedua-dua pihak mula bergerak ke arah Bilik Bicara 3 Mahkamah Persekutuan.


[4.15 pm] - Datuk Cecil Abraham berhujah terdapat lebih daripada satu cara menyingkir Menteri Besar dan bukannya melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri sahaja.

[5.12 pm] - Selepas sehari bersidang dan mendengar kedua-dua hujah peguambela Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Datuk Seri Dr.Zambry Abd Kadir akhirnya Mahkamah Rayuan akan beri keputusan berhubung rayuan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada pukul 3.30 petang esok. Sementara itu anggota media dari dalam dan luar negara didapati sedang berasak-asak di ruang mahkamah untuk hadir sidang akhbar Datuk Seri Nizar Jamaluddin. Dalam pada itu ketika ditanya oleh wartawan, Nizar penuh yakin dengan keputusan yang bakal dibuat oleh mahkamah petang esok.

PADA MALAM JUMAAT INI MARILAH SAMA-SAMA KITA BERDOA AGAR ALLAH MEMBUKA PINTU HATI PARA HAKIM BERKENAAN AGAR MEMBUAT KEPUTUSAN MENYEBELAH KEPADA PIHAK YANG BENAR DALAM PERJUANGAN. ALLAHU AKBAR!


Sunday, May 17, 2009

MANGSA 2X ISA MENINGGAL DUNIA

Akta kejam ISA telah meragut kasih sayang manusia. Memisahkan anak dengan ayah, isteri dengan suami. Akta ini memberi peluang kepada Pak Menteri untuk bertindak kejam tanpa bicara ke atas musuh politiknya dengan alasan, mengancamm keselamatan negara.

Namun sejarah mencatatkan terlalu ramai mereka yang ditahan secara zalim. Ada yang kematian anak ketika mereka berada dalam tahanan. Ada yang kematian ibu ketika mereka dikurung.

Sabtu lalu, Ustaz Zulkifli Ahmad pergi meninggalkan alam ini buat selama-lamanya setelah dua kali ditahan ISA, diburu, dipantau dan ditekan sepanjang hayatnya.

Ustaz Zul yang lebih dikenali sebagai Zul Mali atau Abang Zul pernah ditahan di bawah akta zalim ini pada November 1985 dalam peristiwa serangan polis ke atas orang kampung Memali. 14 orang kampung termasuk Ustaz Ibrahim Libya terbunuh. Ratusan yang lain ditahan. Sebahagian mereka ditahan di bawah ISA termasuk Ustaz Zul.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Pakistan. Ketika peperangan antara Mujahidin Afghanistan menentang Soviet Union memuncak, beliau sempat menghulurkan sumbangan tenaga membantu pejuang-pejuang Islam di sana.

Setelah pulang ke Malaysia, pergerakan beliau sentiasa diekori oleh 'siput babi'. Hinggalah pada tahun 2001, apabila Amerika Syarikat memberi isyarat kepada kerajaan-kerajaan umat Islam supaya menangkap pejuang-pejuang ini, maka Ust Zul ditahan untuk kali yang kedua.

Disebabkan penyakit yang dialaminya, pihak polis bimbang beliau akan mati dalam tahanan dan polis akan dipertanggung-jawabkan. Maka beliau dibebaskan.

Februari 2009, penyakit beliau semakin kritikal dan kemudiannya dimasukkan ke ICU Sg Petani.

Tanggal 16 Mei 2009, Ust Zul menghembuskan nafas terakhir dan meninggalkan SB-SB yang tak sempat minta ampun dengannya di atas dosa yang mereka lakukan terhadapnya.

SURAT TERBUKA UNTUK 'MENTERI AGAMA'

DATUK JAMIL KHIR BAHAROM
Assalamualaikum wrh wbt.

Kepada sahabat lama Jamil Khir Baharom,

Semoga Allah memberkatimu, walau lama kita tak bersua. Semoga Allah melimpah belas kasihanNya ke atasmu.

Terlebih dahulu aku merakamkan ucapan takziah di atas bebanan yang sedang engkau pikul, kerana engkau tidak lebih baik dari Imam Ahmad yang menolak perlantikan sebagai Mufti, kerana itu bermakna ia meredhai kezaliman khalifah.

Tetapi engkau juga tidak sekejam Hajjah bin Yusuf al-Thaqafi yang bertindak membelakangkan hukum Allah bagi menunjukkan kekuasaan yang ada.

Tetapi jauh lebih membimbangkan aku terhadapmu ialah engkau akan terpaksa menentang Jamaah Islam, engkau akan menentang Parti Islam. Kami tahu kami bukanlah yang terbaik, tetapi aku lebih bimbang bilamana kamu menganggap UMNO lebih baik. Engkau akan terpaksa meredhai kemungkaran yang diizinkan pemerintah dan membenarkan kezaliman ISA dan lainnya. Aku tahu engkau tidak kuat menahan kemurkaan Allah di akhirat seandainya Ia murka. Aku memohon perlindungan dariNya untuk aku dan kamu.

Lantaran itu, kumpullah mereka yang takutkan Allah, satulah kekuatan bagi menentang kezaliman, tegaklah makruf dan tentanglah kemungkaran dari dalaman UMNO yang kamu mampu; tetapi akhirnya kamu akan kecewa. Kerana kamu dilingkungi oleh bukan ahlinya.

Sekian, ingatan sahabat sementara hidup, kerana tiada pesanan di akhirat.

Wassalam.

Sahabat Lama;

TUAN IBRAHIM TUAN MAN.
* Petikan dari blog Ustaz Tuan

Sunday, May 10, 2009

SEKITAR MUKTAMAR DPPNP KE 27



Ustaz Nasaruddin Tantawi dicalonkan Ketua Pemuda PAS Pusat

Ustaz Suhaimi Saad, Ketua Pemuda PAS Pahang yang baru

MEMACU KEBANGKITAN MENJANA KEMENANGAN

SEKITAR MUKTAMAR DPPN PAHANG

Alhamdulillah Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) bagi kali ke 27 telah berjalan dengan lancar pada 10 Mei lalu di Kompleks Imam As Syafie (KIAS) Kg Temin Jerantut. Seramai 120 orang perwakilan dan 20 orang Exco DPPNP menyertai muktamar kali ini.

Muktamar ini menyaksikan beberapa perubahan pucuk pimpinan parti khususnya bagai jawatan kedua dan ketiga. Ustaz Suhaimi Saad yang sebelum ini memangku jawatan Ketua Pemuda telah dinobatkan sebagai ketua yang baru. Dibantu oleh timbalannya Ustaz Shahril Azman Abd Halim dan naibnya saudara Abdullah Karim.

Datuk Mahfuz Omar yang dijadualkan merasmikan muktamar berkenaan tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu dan mewakilkan kepada Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, saudara Suhaizan Kayat.

Dalam pada itu beberapa orang exco yang telah tamat usia pemuda melepaskan jawatan masing-masing. Mereka ialah Hasanudin Salim (Setiausaha DPPNP), Mohd Ghaust (exco) dan Dr Nilam Abd Manaf (exco). Bagaimanapun, perjuangan mereka tidak bersara bersama umur mereka. Sebaik sahaja tamat usia pemuda, mereka telah diberi kepercayaan di kawasan masing masing untuk terus menyumbang tenaga membantu parti.

Hasanudin kini Setiausaha PAS Kawasan Temerloh, Dr Nilam pula YDP PAS Kawasan Raub, manakala Mohd Ghaus diamanah sebagai Naib YDP PAS Kawasan Indera Mahkota.

Berikut adalah senarai kabinet baru DPPNP yang terpilih dalam muktamar 10 Mei lalu:

Pengerusi Tetap:Ustaz Rosli Jabar
Timbalan:Hasnan Harun

Ketua Pemuda :Ustaz Suhaimi Saad
Timbalan Ketua :Ustaz Shahril Azman Abd Halim
Naib Ketua : Sdr Abdullah Karim

Ajk:
1. Ustaz Hazmi
2. Mohd Fadhil Nor Abd karim
3. Ustaz Fazli Ibrahim
4. Mutacohiri Ludin
5. Ust Nazri Ahmad
6. Akmar Alias
7. Ustaz Jauhari Ishak
8. Johari wahid
9. Mohd Fathi
10. Shaharudin Mohamad

Muktamar turut mencalonkan jawatan utama bagi Dewan Pemuda PAS Pusat seperti berikut:

Ketua Pemuda: Ustaz Nasarudin Hasan
Timbalan Ketua: Sabki Yusuf
Naib Ketua : Ustaz Nik Abduh Nik Aziz

Bagi lain lain jawatan, perwakilan telah menyerahkan kepada pimpinan DPPNP yang baru untuk mencalonkan.

Thursday, May 7, 2009

ADABUL-KHILAF DALAM JAMAAH














Dalam perbincangan Fiqh Islami, kita diajar tentang ikhtilaf fuqaha’ (اختلاف فقهاء). Islam mengizinkan berikhtilaf dan berbeza pendapat dalam perkara yang tiada nas (نص), atau wujud dua atau lebih Nas yang kelihatan bertentangan. Hakikatnya nas Al Quran dan Hadith sama sekali tidak bertentangan, cuma akal manusia yang tidak mampu memikir dan memahaminya. Lalu wujudlah ikhtilaf dan beza pendapat antara ulama’.

Bahkan wujud juga ikhtilaf dalam usul fiqh sama ada hendak mentaqdimkan (mengutamakan) kaedah jama’ (gabung) antara dua nas yang nampak bertentangan, atau hendak menggunakan kaedah mentarjih salah satu dari dua nas itu. Sama ada hendak mengutamakan hadith yang mutlaq atau yang muqayyad, yang am atau yang khas dan sebagainya. Bermula dari kaedah istinbat hukum yang berbeza, maka lahirlah hukum yang berbeza mengikut ijtihad masing-masing.

Ikhtilaf jika dilangsungkan dengan memelihara adabul khilaf (adab berbeza pendapat) bukanlah suatu yang mazmum, bahkan Nabi Muhammad SAW menyatakan, “Khilaf di kalangan umatku adalah suatu rahmat.”

Ikhtilaf fuqaha’ ini telah menghasilkan beberapa mazhab fiqh yang utama, termasuk yang kekal hingga hari ini, Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali (susunan mengikut senioriti). Memang ada pengikut Hanafi yang menghentam Syafie, pengikut Maliki yang memaki Hanbali dan sebaliknya. Tetapi perbuatan keji itu bukanlah maudhu’ (tajuk) yang diajar oleh pelopor pemikiran ini (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam As Syafie dan Imam Ahmad).

Bahkan sejarah mencatatkan betapa beradabnya tokoh-tokoh ini, walaupun hujah mereka sangat mantap, namun dengan rendah diri mereka berkata, “Andai kamu temui hadith yang sahih bertentangan dengan pendapatku, maka lontarkan pendapatku ke dinding dan berpeganglah kepada hadith yang sahih itu...” Inilah yang dikatakan adab.

Antara tokoh-tokoh fuqafa’ yang berikhtilaf dalam sesuatu perkara itu, pasti ada yang pendapat mereka tepat dengan kehendak Allah dan pasti ada juga yang tidak tepat. Adakah dek kerana tidak tepatnya pendapat mereka dengan kehendak Allah, lalu kita boleh menghentam, memaki, mengumpat dan mencerca mereka serta mengatakan sesat kepada mereka?

Tidak begitu! Biarpun ijtihad mereka salah, mereka tetap mendapat anugerah Allah. Berdasarkan hadith من اجتهد orang yang tersilap dalam ijtihadnya di sisi Allah adalah tidak berdosa. Bahkan mereka diberi ganjaran separuh daripada ganjaran yang diperoleh mereka yang tepat ijtihadnya.

Diriwayatkan, Imam As Syafie (Muhammad bin Idris) yang dinisbahkan Mazhab Syafie kepadanya pernah berkunjung ke Kota Baghdad di Iraq. Penduduk Iraq bermazhab Hanafi. Ketika As Syafie menunaikan solat, beliau tidak mengangkat tangan apabila bangkit daripada rukuk, sedangkan beliau berpendapat mengangkat tangan ketika i’tidal itu hukumnya sunat.

Seusai solat, beliau ditanya orang, “Adakah tuan sudah membatalkan fatwa terdahulu?” “Tidak. Ia adalah satu penghormatan kepada penghuni kubur ini.” Katanya sambil menuding jari ke arah kubur Imam Abu Hanifah.

Imam Abu Hanifah sendiri mempunyai dua orang anak murid yang bertaraf mujtahid dan mampu membina aliran fiqh sendiri iaitu Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin Hasan As Syaibani. Dalam banyak masalah fiqah, kedua-dua tokoh ini mempunyai pandangan yang hampir sama dengan pandangan Imam As Syafie dan banyak perkara yang mereka terpaksa ‘sembah derhaka’ dengan Imam Abu Hanifah, guru mereka.

Namun mereka sekali-kali tidak pernah keluar daripada jamaah Imam Abu Hanifah. Hingga hari ini, mereka menjadi rujukan utama bagi umat Islam yang bermazhab Hanafi. Inilah adab orang dahulu dengan guru mereka dan dengan ulama’ (walaupun mereka juga ulama’ yang hebat).

Perkara ini perlu ditaladani oleh pendokong gerakan Islam hari ini. Soal berbeza pendapat antara ulama’ yang memimpin gerakan Islam adalah perkara biasa. Perkara yang mereka khilafkan bukanlah perkara ‘ma’lum minaddin biddharurah’. Mereka tidak berikhtilaf dalam perkara wajibnya solat, puasa dan haji. Mereka tidak bercanggah pendapat dalam menyatakan wajibnya menegakkan daulah Islamiah, wajibnya berjuang dan berjihad menegakkan agama Allah, wajibnya menentang pemimpin yang zalim dan lain-lain.

Mereka hanya berikhtilaf dalam soal furu’ (cabang) yang tidak ditetapkan secara jelas di dalam Al Quran dan Sunnah. Mereka ikhtilaf dalam soal pendekatan, strategi, eksploitasi dan sebagainya. Kita berhak untuk cenderung kepada mana-mana pandangan berdasarkan hujah dan pendalilan (istidlal) yang paling kukuh. Kita boleh tidak bersetuju dengan mana-mana pandangan yang kurang rasional.

Namun itu bukan bermakna kita perlu meletakkan ulama’ itu sebagai musuh. Itu juga bukan bermakna kita perlu melakukan inqilab (revolusi) untuk menjatuhkan ulama’ itu dari tampuk kepimpinan. Bukan juga bermakna kita terdorong untuk mengambil alih kepimpinan dari tangan ulama’ berkenaan.

Justeru, kena ada rasa rendah diri dengan ulama’. Perlu ada kesedaran, siapa kita berbanding ulama’. Sebusuk-busuk ulama’ mereka berhujah ada landasan dan sandarannya. Mereka tidak berhujah menurut hawa nafsu seperti manusia lain. Ijma’ mereka diiktiraf Allah menjadi hukum. Ijtihad mereka membuahkan pahala, walaupun tersilap.

Sedangkan kita yang bukan ulama, bukan mujtahid ini bagaimana? Apa yang dapat. Mengkritik ulama dapat dosa. Lawan ulama’ sia-sia. Benci ulama’, tunggulah akibatnya...


Monday, May 4, 2009

PAS: Gerakan Dakwah Tanpa Henti


Parti Islam Semalaysia (PAS), satu-satunya gerakan dan jamaah yang memperjuangkan Islam yang syumul di Malaysia telah berusaha mengajar dan melatih serta memberikan kefahaman Islam yang sempurna kepada ahli dan penyokongnya sejak sekian lama. Usaha yang dipanggil 'tarbiah' ini begitu berkembang baik pada pertengahan tahun 80-an, iaitu semenjak konsep Kepimpinan Ulama' mula diperkenalkan.

Soal sampai atau tidak mesej tarbiah ini kepada seluruh ahli, sukar untuk dijawab dengan angkanya. Ini kerana PAS tidak bersikap seperti sebuah kelab elit yang menghadkan penyertaan dan keahlian hanya di kalangan golongan tertentu sahaja. Tetapi PAS membuka keahlian kepada sesiapa sahaja yang ingin bersama memperjuangkan Islam.

Syarat untuk menjadi ahli PAS sangat mudah;
Pertama Islam
Kedua baligh dan
Ketiga rakyat Malaysia.

Dalam era kebangkitan PAS pada penghujung 90-an, parti ini menerima ribuan permohonan keahlian baru setiap bulan. Jualan akhbar Harakah ketika itu mencecah 300,000 naskhah, menunjukkan betapa ramainya manusia yang ingin menjadi ahli PAS.

Suatu waktu dahulu, mereka yang menyertai PAS hanya terdiri daripada golongan ulama', agamawan dan mereka yang cenderong dalam bidang agama Islam sahaja. Tetapi kini mereka terdiri dari pelbagai latar belakang.

Ada yang merupakan bekas ahli Umno, ada yang merupakan bekas pendokong jemaah Islam yang lain seperti JIM, Abim, Arqam dan sebagainya. Tidak kurang juga mereka yang menyokong PAS hanya kerana tak bersetuju dengan Umno.

Penyertaan yang pelbagai ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kesinambungan perjuangan PAS. Secara nyata, suatu ketika dahulu di dalam majlis ceramah PAS, hanya ada laungan takbir, doa wehdah dan slogan-slogan mengutuk kezaliman dan asabiah. Kini ceramah PAS sudah diwarnai dengan bunyi gemuruh tepuk tangan (walaupun ianya tidak menjadi budaya dalam gerakan Islam).

Di satu sudut, ada suara yang mengkritik mengatakan PAS sudah berubah dari matlamat asal perjuangan. Namun di sudut yang lain, PAS kini sudah berjaya memecah tembuk untuk menyampaikan suara Islam kepada segenap lapisan masyarakat. Kaum Cina dan India yang suatu waktu dahulu amat jauh dengan PAS, kini mereka sudah biasa duduk bersama orang Islam hingga tengah malam bagi mendengar ceramah PAS.

Suatu waktu dahulu mereka sangat gerun dengan Al Quran. Gerun kerana menganggap ia sebagai sebuah buku yang ada kuasa ajaib seperti ilmu sihir dan gerun kerana digambarkan Al Quran sebagai sebuah kitab yang menganjurkan keganasan. Namun kini mereka sudah mula membaca Al Quran untuk mengetahui isi kandungannya.

Siapa tidak kenal Ahli Parlimen Padang Serai (PKR), N Gobala Krishnan yang sering membaca ayat وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ dan hadith قل الحق ولو كان مراً. Timbul pula isu Ahli Parlimen Taiping (DAP) Nga Kor Ming yang sering membaca ayat 90 surah An Nahli (Utusan kata Surah Aura) إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ dalam usaha beliau menuntut pihak lawan supaya berlaku adil dan berbuat ihsan.

Kini muncul seorang lagi tokoh, Bala Subramaniam, pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat merangkap pengerusi Kelab Penyokong PAS India Pahang. Dalam ceramahnya di Jengka baru-baru ini, beliau memulakan ceramahnya dengan memberi ucapan salam yang sempurna diikuti dengan muqaddimah الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين ربّ يسر ولا تعسر يا كريم.

Dalam masa berceramah beliau menunjukkan kemampuannya menghuraikan beberapa potong ayat Al Quran yang mengatakan jika kamu meninggalkan agama Islam dan enggan memperjuangkannya, maka Allah akan datangkan kaum lain, mungkin juga kaum India, yang akan menegakkan agama ini.

Beliau seterusnya menyeru supaya jangan cenderong menyokong orang yang zalim kerana Allah memberi amaran di dalam firman-Nya dalam surah Hud ayat 113: وَلاَ تَرْكَنُواْ إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ

Bala bukan sekadar menyokong PAS. Bahkan turut belajar hukum hakam agama Islam. Beliau amat mahir berbicara tentang syarat-rukun ibadat2 dalam Islam hingga mampu membuat perumpamaan orang yang berbuat baik, tapi menyokong kezaliman seumpama orang yang sembahyang, tapi tak ambil wudhuk!

Pada hari raya korban tahun lalu, Bala dengan rendah diri memohon untuk turut sama menyertai ibadah berkenaan bersama umat Islam. Bukankah ini satu lagi peluang dan ruang dakwah Islam agar ia dapat berkembang.

Tuan Guru Nik Abd Aziz pernah ditanya, bagaimana PAS boleh tegak negara Islam melalui sistem demokrasi sedangkan peratusan orang Melayu hanya sekitar 50% sahaja. Beliau menjawab, "Kenapa kita hanya tumpu orang Melayu? Kenapa kita tidak gambarkan suatu ketika nanti Islam akan bangkit di Malaysia di tangan orang Cina, Islam tertegak di Malaysia dengan perjuangan orang-orang India? Islam tak sebutpun hanya orang Melayu yang boleh bawak Islam."

Bayangkanlah andainya PAS bersikap seperti satu dua jamaah lain yang menghadkan keahlian mereka hanya kepada golongan elit tertentu sahaja, bagaimana agaknya orang India dan Cina akan mendekati PAS?

Sunday, May 3, 2009

KEPIMPINAN SATU AMANAH



JANGAN TOLAK SETELAH DIAMANAHKAN
JANGAN REBUT SAMPAI BERKEMPEN



Berikut tulisan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
(Pesuruhjaya PAS Pahang)

Sewaktu Nabi mengiklankan satu jawatan untuk diisi oleh para sahabat, lalu datanglah Abu Zar al-Ghifari memohon jawatan tersebut, melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu nabi menyatakan:

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti di hari akhirat engkau akan akan dukacita dan menyesal ; melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanahnya".

Hadis ini seharusnya menjadi dasar pegangan setiap kita agar tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan, kerana beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung nanti.

Muawiyah bin Abu Sufyan disaat kematiannya menungkapkan kata-kata masyhur
‘Alangkah sedikitnya bekalan, alangkah jauhnya perjalanan dan alangkah beratnya bebanan’.

Rasulullah juga pernah memberi amaran antara lain mafhumnya:

‘Jangan kamu mendesak untuk mendapatkan jawatan, kerana sesiapa yang mendapatkannya sedang orang ramai tidak meredhainya, maka Allah tidak akan membantunya’.

AlHamdulillah, semangat keimanan tersebut telah tersemat kukuh dalam jamaah kita, sehingga setiap kita merasa berat untuk menerima jawatan tersebut. Tetapi kita juga sedar dengan apa yang diucapkan oleh Presiden, menerima jawatan dalam jamaah adalah perlumbaan untuk membuat kebaikan dan memperjuangkan Islam.

Kita rasa seronok bilamana kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada jamaah, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Betapa ramainya golongan yang ikhlas dalam perjuangan ini sanggup korbankan harta, masa dan tenaga untuk kemenangan Islam, walau mereka tidak memegang apa-apa jawatan dan jauh dari dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.

Jamaah kita didokongi oleh ahli yang ikhlas, kepimpinan yang wibawa dan kemantapan jamaah yang hebat. Kita sedar musuh amat cemburu dengan muafakat jamaah yang kita ada. Mereka cuba memecahkan perpaduan kita, mereka cuba laga-lagakan antara kita, kerana itu kita harus sedar agar tidak jadi jurucakap bagi pihak musuh.

Dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah antara lain Baginda mengingatkan sesiapa yang ummah/orang ramai mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahah mereka, lalu dia melarikan diri (enggan menerima) maka aku tak ingin berjumpa dengannya nanti di padang mahsyar. ( Nauzubillah).

Oleh itu pertimbangan yang wajar ialah berada di antara takut dan harap. Takut Rasulullah murka, dan harap Allah bantu dengan amanah ini.

Oleh itu menjadi tanggungjawab perwakilan yang menerima amanah ahli bawahan meneliti dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi, meletakkan kepentingan jamaah di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya bagi menerajui kepimpinan jamaah kita.

Namun kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita cadang menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya. Kita harus sedar, setelah diputus oleh jamaah maka kita mesti wala’ kepada kepimpinan yang dipilih. Perlantikan sebagai pimpinan menuntut kita taat dan wala’ kepadanya ‘ walaupun dari hamba berkulit hitam, berbangsa Habashi sekalipun’. Ini lebih penting dari pemilihan, kerana soal pemilihan boleh selesai dalam sehari, tetapi soal wala’ akan berpanjangan sehingga muktamar akan datang.

Kepada yang terpilih menerajui kepimpinan kawasan, dewan dan akan terpilih dalam muktamar pusat, ingatlah akan doa saidina Umar Al-Khattab:

“Ya Allah, engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat diakhirat”.


Ingatlah kita sebenarnya belum diuji oleh Allah dengan kemenangan besar yang menanti kita- Semoga Allah tidak menguji kita sebagaimana Allah menguji umat sebelum kita, Wassalam.

Mau'izah untuk ana dan para sahabat;

Tuan Ibrahim Tuan Man,
Temerloh - 30hb Mei




(Tulisan ini dipetik dari blog Ketua Pemuda PAS Pahang
http://www.najwasuhaimi.blogspot.com/)