Friday, July 24, 2009

KENAPA TIDAK TERUS MASUK PAS?

PAS BAHTERA YANG MENYELAMAT

Oleh: Ketua Pemuda PAS Kawasan Bentong


PAS telah wujud sejak tahun 1951. Namun perjuangan Islam yang di bawa oleh PAS adalah kesinambungan perjuangan Hizbul Muslkimin yang diharamkan oleh penjajah pada 1948. Bahkan lebih dahulu dari itu, perjuangan suci ini telah ratusan tahun dibawa oleh pejuang-pejuang dan ulama’ terdahulu dan ribuan tahun oleh para nabi dan rasul ‘alaihimussolatu wassalam.

JATUH BANGUN

Dalam tempoh berkenaan, PAS telah menelusuri onak dan duri, jatuh dan bangun, ditekan dan dilawan, menang dibeberapa buah negeri, parlimen dan Dun. PAS pernah menang di Terengganu dan Kelantan ketika kesedaran Islam masih belum tinggi atau dengan kata lain ketika kain tudung kepala belum begitu glamour. PAS pernah berkongsi kuasa dengan Barisan Nasional yang menghasilkan beberapa institusi Islam dan perbankan Islam.

PAS seterusnya merasa betapa peritnya ditendang keluar dari Barisan Nasional dan tewas di Kelantan. PAS juga pernah tinggal 2 kerusi pada tahun 1986. Ketika wakil PAS di Parlimen, Pak Nik Lah berucap, semua MP Umno (Melayu/Islam) keluar. Yang tinggal hanya yang bukan Islam.

Perpecahan Umno pada tahun 1987, memberikan keuntungan kepada PAS apabila berjaya menyapu bersih kerusi DUN Kelantan pada 1990. Itu kemenangan yang diraih bersama bekas ahli dan pemimpin Umno yang membentuk Semangat 46 (kemudiannya Parti Melayu Semangat 46 dan seterusnya dikuburkan oleh mereka sendiri).

Dengan beberapa isu yang timbul, gejala murtad, kecaman secara terus terang Dr Mahathir terhadap golongan ulama’ membangkitkan dan melonjak sokongan rakyat kepada PAS, khususnya pada Pilihanraya Kecil Arau awal 1998. Ulama’ tersohor, Ustaz Hashim Jasin berjaya menewaskan adik MB Perlis dalam pilihanraya berkenaan. Kebangkitan rakyat sedang membara ketika itu.

Kayu yang sedang membara itu tiba-tiba menjulang api besar apabila timbul isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, November 1998. Natijahnya, hanya setahun selepas itu, PAS menjadi parti pembangkang yang terbesar bilangan wakilnya di Parlimen. Jawatan Ketua Pembangkang yang biasanya disandang oleh wakil DAP, beralih tangan kepada Dato’ Fadhil Noor, Presiden PAS. Jawatan yang dipegangnya hingga keakhir hayat.

Walaupun mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan pada 2004, namun Pilihanraya 2008 menyaksikan PAS kembali bangkit degan memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan oleh pembangkang. Walaupun kerusi parlimen mencatatkan PAS berada di tangga ke 3 (23 kerusi) selepas PKR (31) dan DAP (28), namun jika dicampur dengan semua kerusi termasuk Dun, maka PAS adalah parti alternatif yang paling mendapat sokongan rakyat. PAS memenangi hati rakyat bawahan dengan mendapat 84 kerusi Dun, manakala Dap (40) dan PKR (73). PAS juga mempunyai 3 orang Menteri Besar, Dap (1) dan PKR juga (1).

KERJASAMA

PAS menerusi kepimpinan ulama’ sentiasa bersedia berdialog, berbincang dan berkerjasama dengan pelbagai pihak. Sejak awal penubuhan, PAS sememangnya bersikap terbuka. Dalam menuntut kemerdekaan, satu sejarah yang cuba disembunyi, PAS lebih kehadapan dalam menuntut kemerdekaan. Slogan PAS ketika itu ialah, “Merdeka!” Sedangkan slogan Umno, “Hidup Melayu!”

Umno tidak berani menzahirkan kebencian mereka kepada penjajah. Lihat saja slogannya. Lihat saja pada namanya. Walaupun ia pertubuhan Melayu, namun nama pertubuhan itu disingkatkan dari istilah bahasa Inggeris iaitu ‘Umno’. Hingga kini mereka langsung tidak masyhurkan nama ‘Pekembar’.

Pun begitu PAS sentiasa terbuka dengan Umno. Presiden PAS pernah berceramah bersama Presiden Umno di atas satu pentas. PAS terlibat dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MPEN). Kemuncak kepada keterbukaan PAS ialah kesediaan PAS menyertai Barisan Nasional bagi merealisasikan agenda Islam. Walaupun kemudiannya ditendang keluar, namun dalam tempuh yang singkat itu, PAS telah berjaya memainkan peranan membangunkan institusi dan sistem Islam yang sehingga kini dinikmati oleh seluruh rakyat. Ijtihad ulama’ PAS ketika itu ternyata memberikan kebaikan.

PAS turut membuka pintu kerjasama dengan pertubuhan lain yang sebahagiannya lebih merupakan bantuan PAS untuk pertubuhan berkenaan terus hidup. Majlis Perundingan China (CCC) pernah bekerjasama dan mengeluarkan deklarasi bersama dalam beberapa isu. Parti Nasionalisma Malaysia (Nasma) yang wujud hanya ‘beberapa saat’ turut diberi muka oleh PAS pada awal 80-an. PAS turut bekerjasama dengan parti yang bercanggah ideologi mereka dengan prinsip perjuangan Islam yang dipegang oleh PAS, iaitu PSRM dan Dap.

Antara kerjasama yang besar ialah kerjasama dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang melibatkan Parti S46, Hamim dan Berjasa. Walaupun PAS tahu Hamim dan Berjasa hanya ‘hidup segan mati tak mahu’ namun PAS meraikan mereka atas dasar perpaduan ummah. PAS juga tahu pendokong S46 tidak ada agenda yang besar selain mahu menubuh kembali Umno asal yang telah diharamkan, namun PAS memberi ruang kerjasama. Bahkan jawatan Timbalan MB2 Kelantan diwujudkan semata-mata untuk menjaga persahabatan.

Ketika Datuk Seri Anwar dipecat, PAS memberikan pentasnya kepada Anwar untuk diangkat naik kembali. Ini bukan kerja baru. Dr Mahathir juga pernah menumpang pentas PAS ketika dihalau oleh Tungku. Namun PAS tidak menganggap mereka menumpang. Sebaliknya PAS berpegang kepada prinsip, sebesar manapun dosa seseorang itu, Allah tetap memberinya peluang untuk bertaubat. Seorang pemuda Bani Israel diterima taubatnya oleh Allah, walaupun dia telah membunuh 99 nyawa dan kemudiannya menggenapkan bilangan 100. Seorang wanita umat Nabi Musa diterima taubatnya walaupun dia telah berzina, mengandung anak luar nikah dan seterusnya membunuh anak berkenaan selepas kelahiran. Jibril sendiri turun mengumumkan kepada Musa AS bahawa Allah menerima taubatnya.

Menangani isu Anwar, PAS membuka pintu Markaz Tarbiahnya di Taman Melewar untuk dijadikan tempat berhimpunnya para simpatis terhadap Anwar menubuhkan Gerak. Bukan sekadar parti politik yang menjadi tetamu di Taman Melewar, bahkan NGO dan tokoh perseorangan turut menggabungkan diri ke dalam Gerak.

Oleh kerana kerap berpidato bersama pimpinan PAS, ramai ahli PAS berharap agar Anwar menyertai PAS, biarpun ketika itu Anwar berucap mengatakan, “Saya masih sayangkan Umno.” Harapan itu adalah atas dasar hubungan baik Anwar sebelum ini dengan pimpinan PAS serta gandingan PAS-Abim dipersada politik Islam suatu ketika dahulu.

Harapan ahli PAS ternyata tidak disambut Anwar. Setelah ditangkap, pengikut-pengikutnya yang dipimpin oleh Wan Azizah dan Ezam menubuhkan Adil. Kemudian diisytiharkan penubuhan parti baru yang menggunakan lesen sebuah parti politik yang sudah tidak aktif. Parti KeADILan Nasional (PKN) kemudiannya menukarkan namanya kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah kemasukan pimpinan PRM (asalnya penggabungan, tetapi PRM terus wujud hingga kini).

Biarpun sedikit kecewa, Anwar dan penyokongnya enggan menyertai PAS, namun PAS turut menjalin hubungan mesra dengan mereka. Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang ditandingi PAS sejak sekian lama diberikan kepada Wan Azizah sebagai mewakili Barisan Alternatif.

Kerusi Lembah Pantai yang sinonim dengan PAS dan merupakan kubu kuat PAS di ibu kota diserahkan kepada Zainol Zakaria dan kemudiannya anak Anwar, Nurul Izzah. Bahkan PAS juga terlalu banyak bertoleransi menyerahkan kawasan-kawasan lain di seluruh negara yang merupakan kubu kuat PAS, untuk ditandingi oleh PKR. Ramai ahli PAS yang merungut, “Depa bertanding kawasan kita, tapi petugas depa ada dua tiga kerat ja. Kita yang dok tolong kempen.” Rungutan ahli PAS cuba diredakan oleh pimpinan, bahawa kita perlu hormati rakan.

Dalam melayar bahtera perjuangan yang ramai orang hendak tumpang, pimpinan PAS sentiasa berhati-hati. Setiap tahalluf dikaji di peringkat Majlis Syura supaya maslahah perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS terpelihara.

Tidak sedikit di antara mereka yang kemudiannya lari dan memutuskan persahabatan dengan PAS. Sejarah mencatatkan, PAS tidak pernah memutuskan tali persahabatan. Namun ‘penumpang-penumpang’ inilah yang selalunya meninggalkan dan memungkiri janji setia serta ‘sumpah keramat’ mereka.

MENEMPEL

Selain parti politik, terdapat orang perseorangan yang turut menumpang bahtera PAS ini. Mereka ini kebanyakannya golongan yang tidak cenderung kepada parti politik. Ada juga yang tidak cenderung kepada perjuangan Islam. Yang cenderung kepada perjuangan Islam pula, ada yang mendakwa PAS merintis jalan yang tidak syar’i dengan menyertai pilihanraya. Bahkan ada juga yang mendakwa perjuangan secara solo lebih baik.

Namun golongan ini terpaksa juga menumpang bahtera PAS apabila mereka dianiaya, perjuangan mereka dicabar, mereka disingkir dari pertubuhan yang mereka anggotai sebelum ini dan sebagainya.

Bukan sekadar menerima kehadiran mereka dan memberi pentas kepada mereka, bahkan ada yang diberikan kawasan parlimen dan Dun untuk mereka bertanding, biarpun mereka tidak menyertai PAS.

Ada antara mereka yang turut berdemonstrasi berama-sama dengan PAS apabila PAS mengetengahkan isu yang mereka prihatin. Ketika berdemonstrasi isu Palestin, kumpulan yang selama ini mengatakan perjuangan PAS tidak syar’i turut mengusung bendera mereka dan menyusup di celah-celah saf pemuda PAS. Ketika isu PPMSI, ramai pejuang bahasa bersama PAS dalam aktiviti bantahan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Apabila PAS mengutarakan isu berkaitan setinggan, maka pejuang-pejuang yang membela golongan ini menempel di anjung PAS. Apabila ada individu teraniaya, maka PAS membela mereka kerana PAS berpegang kepada prinsip Islam yang menentang kezaliman walau ke atas orang yang bukan Islam. Individu ini akhirnya mula jinak di dalam majlis ceramah PAS dan turut serta berkempen untuk calon PAS di dalam pilihanraya. Begitu jugalah dengan isu-isu yang lain. PAS menerima mereka seadanya.

KENAPA TIDAK TERUS SERTAI PAS

Namun yang agak menghairankan, kenapa golongan ini masih terus dengan ideologi mereka dan enggan menyertai PAS. Allah sudah membuka laluan kepada mereka untuk menumpang bahtera ini barang seketika. Allah beri ruang kepada mereka melihat betapa ikhlasnya pejuang-pejuang PAS.

PAS telah melayarkan bahtera perjuangan ini sejak sekian lama. Adakalanya di atas, adakalanya di bawah. Kadang-kadang menang, kadang-kadang kalah. Ada pimpinannya yang jadi Menteri Besar, ada yang dapat dato’, tan sri dan sebagainya. Ada juga yang disumbat ke dalam penjara, Kem Kamunting, bahkan ada yang dibunuh.

Namun parti ini tetap istiqamah di atas perjuangan ini. Perjuangannya terus menerus tanpa henti. Semua parti Melayu yang seangkatan dengannya sudah berkubur termasuk Umno yang diharamkan pada 1988, namun PAS tetap teguh melayari bahteranya.

Jadi, apa lagi yang tak kena dengan PAS. Mengapa ikut PAS hanya dalam isu-isu tertentu sahaja. Mengapa tidak terus sahaja sertai PAS. Bukankah menyertai perjuangan Islam ini satu kemuliaan. Bukankah bersama-sama dengan jamaah Islam ini mendatangkan pahala.

Kadang-kadang penulis merasa sedih dan simpati terhadap pejuang-pejuang yang sanggup membiarkan diri mereka dikurung di penjara dan disiksa bertahun-tahun lamanya, namun jalan perjuangannya tidak dibina atas nama Islam. Alangkah besarnya ganjaran Allah di atas kesukaran yang terpaksa mereka tempuh andainya mereka berjuang atas nama Islam.

No comments:

Post a Comment