Tuesday, July 28, 2009

16 TAHUN DALAM SANGKAR BESI

ISA KURUNG ULAMA'
Ketika isu Al Arqam hangat pada tahun 1993 yang lalu, ramai yang tertanya-tanya, kenapa kerajaan Thai bekerjasama menangkap dan menyerahkan Abuya kepada kerajaan Malaysia. Apa kepentingan Thailand dalam isu ini. Tidak ada.

Tetapi Thailand mengambil kesempatan di atas isu ini untuk menuntut seorang ulama' Patani yang bermastautin di Malaysia. Baba (Tuan Guru) Bedung yang telah sekian lama tinggal di Malaysia dan membuka pondok pengajian Islam di Kedah, telahpun menjadi rakyat Malaysia yang sah.

Di Malaysia, beliau tidak menyusahkan kerajaan Malaysia, mahupun kerajaan Thai. Beliau hanya mengabdikan diri kepada Allah menerusi menyebaran ilmu-ilmu Islam dipondoknya. Namun kerajaan Siam yang menaruh dendam terhadap pejuang Islam ini telah mengambil kesempatan di atas isu Ashaari dan Al Arqam untuk menuntut kerajaan Malaysia supaya menyerahkan Baba Bedung.

Sepatutnya Malaysia tidak melayan tuntutan Thai kerana Baba Bedung sudah menjadi rakyat Malaysia dan beliau tidak pernah melakukan apa-apa jenayah. Namun ketamakan pemimpin kedua-dua negara menyebabkan mereka menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan Baba Bedung lalu diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand. Di pihak Siam pula, mereka menangkap Ashaari dan menyerahkannya kepada kerajaan Malaysia.

Semenjak itu kita tidak tahu apa khabar berita Baba Bedung. Sedangkan Ashaari yang ditahan hanya beberapa hari, kemudiannya dibebaskan setelah membuat pengakuan terbuka yang disiarkan di kaca TV.

Baru-baru ini, Ustaz Fauzi Husein, Setiausaha Dewan Ulama' PAS Kedah bertemu dengan anak Baba Bedung yang sedang belajar di sebuah pusat tahfiz Al Quran. Beliau bertanya perkhabaran Baba Bedung.

Sambil menangis teresak-esak, anaknya memberitahu bahawa sejak ditahan, ayahnya dikurung di dalam sebuah sangkar besar di sebuah penjara berhampiran sempadan Burma. Di peringkat awal, beliau telah diseksa dengan berbagai-bagai bentuk seksaan. Askar Thai membakar getah di atas sangkar itu, apinya menitik di atas tubuh ulama' Patani ini menyebabkan kulit tubuhnya berlubang-lubang.

Hingga kini beliau masih dikurung dalam sangkar besi bersaiz 6 kaki panjang dan lebar.

Semua ini berlaku kerana angkara zalim ISA!


No comments:

Post a Comment