Sunday, May 17, 2009

MANGSA 2X ISA MENINGGAL DUNIA

Akta kejam ISA telah meragut kasih sayang manusia. Memisahkan anak dengan ayah, isteri dengan suami. Akta ini memberi peluang kepada Pak Menteri untuk bertindak kejam tanpa bicara ke atas musuh politiknya dengan alasan, mengancamm keselamatan negara.

Namun sejarah mencatatkan terlalu ramai mereka yang ditahan secara zalim. Ada yang kematian anak ketika mereka berada dalam tahanan. Ada yang kematian ibu ketika mereka dikurung.

Sabtu lalu, Ustaz Zulkifli Ahmad pergi meninggalkan alam ini buat selama-lamanya setelah dua kali ditahan ISA, diburu, dipantau dan ditekan sepanjang hayatnya.

Ustaz Zul yang lebih dikenali sebagai Zul Mali atau Abang Zul pernah ditahan di bawah akta zalim ini pada November 1985 dalam peristiwa serangan polis ke atas orang kampung Memali. 14 orang kampung termasuk Ustaz Ibrahim Libya terbunuh. Ratusan yang lain ditahan. Sebahagian mereka ditahan di bawah ISA termasuk Ustaz Zul.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Pakistan. Ketika peperangan antara Mujahidin Afghanistan menentang Soviet Union memuncak, beliau sempat menghulurkan sumbangan tenaga membantu pejuang-pejuang Islam di sana.

Setelah pulang ke Malaysia, pergerakan beliau sentiasa diekori oleh 'siput babi'. Hinggalah pada tahun 2001, apabila Amerika Syarikat memberi isyarat kepada kerajaan-kerajaan umat Islam supaya menangkap pejuang-pejuang ini, maka Ust Zul ditahan untuk kali yang kedua.

Disebabkan penyakit yang dialaminya, pihak polis bimbang beliau akan mati dalam tahanan dan polis akan dipertanggung-jawabkan. Maka beliau dibebaskan.

Februari 2009, penyakit beliau semakin kritikal dan kemudiannya dimasukkan ke ICU Sg Petani.

Tanggal 16 Mei 2009, Ust Zul menghembuskan nafas terakhir dan meninggalkan SB-SB yang tak sempat minta ampun dengannya di atas dosa yang mereka lakukan terhadapnya.

SURAT TERBUKA UNTUK 'MENTERI AGAMA'

DATUK JAMIL KHIR BAHAROM
Assalamualaikum wrh wbt.

Kepada sahabat lama Jamil Khir Baharom,

Semoga Allah memberkatimu, walau lama kita tak bersua. Semoga Allah melimpah belas kasihanNya ke atasmu.

Terlebih dahulu aku merakamkan ucapan takziah di atas bebanan yang sedang engkau pikul, kerana engkau tidak lebih baik dari Imam Ahmad yang menolak perlantikan sebagai Mufti, kerana itu bermakna ia meredhai kezaliman khalifah.

Tetapi engkau juga tidak sekejam Hajjah bin Yusuf al-Thaqafi yang bertindak membelakangkan hukum Allah bagi menunjukkan kekuasaan yang ada.

Tetapi jauh lebih membimbangkan aku terhadapmu ialah engkau akan terpaksa menentang Jamaah Islam, engkau akan menentang Parti Islam. Kami tahu kami bukanlah yang terbaik, tetapi aku lebih bimbang bilamana kamu menganggap UMNO lebih baik. Engkau akan terpaksa meredhai kemungkaran yang diizinkan pemerintah dan membenarkan kezaliman ISA dan lainnya. Aku tahu engkau tidak kuat menahan kemurkaan Allah di akhirat seandainya Ia murka. Aku memohon perlindungan dariNya untuk aku dan kamu.

Lantaran itu, kumpullah mereka yang takutkan Allah, satulah kekuatan bagi menentang kezaliman, tegaklah makruf dan tentanglah kemungkaran dari dalaman UMNO yang kamu mampu; tetapi akhirnya kamu akan kecewa. Kerana kamu dilingkungi oleh bukan ahlinya.

Sekian, ingatan sahabat sementara hidup, kerana tiada pesanan di akhirat.

Wassalam.

Sahabat Lama;

TUAN IBRAHIM TUAN MAN.
* Petikan dari blog Ustaz Tuan

Sunday, May 10, 2009

SEKITAR MUKTAMAR DPPNP KE 27



Ustaz Nasaruddin Tantawi dicalonkan Ketua Pemuda PAS Pusat

Ustaz Suhaimi Saad, Ketua Pemuda PAS Pahang yang baru

MEMACU KEBANGKITAN MENJANA KEMENANGAN

SEKITAR MUKTAMAR DPPN PAHANG

Alhamdulillah Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) bagi kali ke 27 telah berjalan dengan lancar pada 10 Mei lalu di Kompleks Imam As Syafie (KIAS) Kg Temin Jerantut. Seramai 120 orang perwakilan dan 20 orang Exco DPPNP menyertai muktamar kali ini.

Muktamar ini menyaksikan beberapa perubahan pucuk pimpinan parti khususnya bagai jawatan kedua dan ketiga. Ustaz Suhaimi Saad yang sebelum ini memangku jawatan Ketua Pemuda telah dinobatkan sebagai ketua yang baru. Dibantu oleh timbalannya Ustaz Shahril Azman Abd Halim dan naibnya saudara Abdullah Karim.

Datuk Mahfuz Omar yang dijadualkan merasmikan muktamar berkenaan tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu dan mewakilkan kepada Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, saudara Suhaizan Kayat.

Dalam pada itu beberapa orang exco yang telah tamat usia pemuda melepaskan jawatan masing-masing. Mereka ialah Hasanudin Salim (Setiausaha DPPNP), Mohd Ghaust (exco) dan Dr Nilam Abd Manaf (exco). Bagaimanapun, perjuangan mereka tidak bersara bersama umur mereka. Sebaik sahaja tamat usia pemuda, mereka telah diberi kepercayaan di kawasan masing masing untuk terus menyumbang tenaga membantu parti.

Hasanudin kini Setiausaha PAS Kawasan Temerloh, Dr Nilam pula YDP PAS Kawasan Raub, manakala Mohd Ghaus diamanah sebagai Naib YDP PAS Kawasan Indera Mahkota.

Berikut adalah senarai kabinet baru DPPNP yang terpilih dalam muktamar 10 Mei lalu:

Pengerusi Tetap:Ustaz Rosli Jabar
Timbalan:Hasnan Harun

Ketua Pemuda :Ustaz Suhaimi Saad
Timbalan Ketua :Ustaz Shahril Azman Abd Halim
Naib Ketua : Sdr Abdullah Karim

Ajk:
1. Ustaz Hazmi
2. Mohd Fadhil Nor Abd karim
3. Ustaz Fazli Ibrahim
4. Mutacohiri Ludin
5. Ust Nazri Ahmad
6. Akmar Alias
7. Ustaz Jauhari Ishak
8. Johari wahid
9. Mohd Fathi
10. Shaharudin Mohamad

Muktamar turut mencalonkan jawatan utama bagi Dewan Pemuda PAS Pusat seperti berikut:

Ketua Pemuda: Ustaz Nasarudin Hasan
Timbalan Ketua: Sabki Yusuf
Naib Ketua : Ustaz Nik Abduh Nik Aziz

Bagi lain lain jawatan, perwakilan telah menyerahkan kepada pimpinan DPPNP yang baru untuk mencalonkan.

Thursday, May 7, 2009

ADABUL-KHILAF DALAM JAMAAH














Dalam perbincangan Fiqh Islami, kita diajar tentang ikhtilaf fuqaha’ (اختلاف فقهاء). Islam mengizinkan berikhtilaf dan berbeza pendapat dalam perkara yang tiada nas (نص), atau wujud dua atau lebih Nas yang kelihatan bertentangan. Hakikatnya nas Al Quran dan Hadith sama sekali tidak bertentangan, cuma akal manusia yang tidak mampu memikir dan memahaminya. Lalu wujudlah ikhtilaf dan beza pendapat antara ulama’.

Bahkan wujud juga ikhtilaf dalam usul fiqh sama ada hendak mentaqdimkan (mengutamakan) kaedah jama’ (gabung) antara dua nas yang nampak bertentangan, atau hendak menggunakan kaedah mentarjih salah satu dari dua nas itu. Sama ada hendak mengutamakan hadith yang mutlaq atau yang muqayyad, yang am atau yang khas dan sebagainya. Bermula dari kaedah istinbat hukum yang berbeza, maka lahirlah hukum yang berbeza mengikut ijtihad masing-masing.

Ikhtilaf jika dilangsungkan dengan memelihara adabul khilaf (adab berbeza pendapat) bukanlah suatu yang mazmum, bahkan Nabi Muhammad SAW menyatakan, “Khilaf di kalangan umatku adalah suatu rahmat.”

Ikhtilaf fuqaha’ ini telah menghasilkan beberapa mazhab fiqh yang utama, termasuk yang kekal hingga hari ini, Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali (susunan mengikut senioriti). Memang ada pengikut Hanafi yang menghentam Syafie, pengikut Maliki yang memaki Hanbali dan sebaliknya. Tetapi perbuatan keji itu bukanlah maudhu’ (tajuk) yang diajar oleh pelopor pemikiran ini (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam As Syafie dan Imam Ahmad).

Bahkan sejarah mencatatkan betapa beradabnya tokoh-tokoh ini, walaupun hujah mereka sangat mantap, namun dengan rendah diri mereka berkata, “Andai kamu temui hadith yang sahih bertentangan dengan pendapatku, maka lontarkan pendapatku ke dinding dan berpeganglah kepada hadith yang sahih itu...” Inilah yang dikatakan adab.

Antara tokoh-tokoh fuqafa’ yang berikhtilaf dalam sesuatu perkara itu, pasti ada yang pendapat mereka tepat dengan kehendak Allah dan pasti ada juga yang tidak tepat. Adakah dek kerana tidak tepatnya pendapat mereka dengan kehendak Allah, lalu kita boleh menghentam, memaki, mengumpat dan mencerca mereka serta mengatakan sesat kepada mereka?

Tidak begitu! Biarpun ijtihad mereka salah, mereka tetap mendapat anugerah Allah. Berdasarkan hadith من اجتهد orang yang tersilap dalam ijtihadnya di sisi Allah adalah tidak berdosa. Bahkan mereka diberi ganjaran separuh daripada ganjaran yang diperoleh mereka yang tepat ijtihadnya.

Diriwayatkan, Imam As Syafie (Muhammad bin Idris) yang dinisbahkan Mazhab Syafie kepadanya pernah berkunjung ke Kota Baghdad di Iraq. Penduduk Iraq bermazhab Hanafi. Ketika As Syafie menunaikan solat, beliau tidak mengangkat tangan apabila bangkit daripada rukuk, sedangkan beliau berpendapat mengangkat tangan ketika i’tidal itu hukumnya sunat.

Seusai solat, beliau ditanya orang, “Adakah tuan sudah membatalkan fatwa terdahulu?” “Tidak. Ia adalah satu penghormatan kepada penghuni kubur ini.” Katanya sambil menuding jari ke arah kubur Imam Abu Hanifah.

Imam Abu Hanifah sendiri mempunyai dua orang anak murid yang bertaraf mujtahid dan mampu membina aliran fiqh sendiri iaitu Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin Hasan As Syaibani. Dalam banyak masalah fiqah, kedua-dua tokoh ini mempunyai pandangan yang hampir sama dengan pandangan Imam As Syafie dan banyak perkara yang mereka terpaksa ‘sembah derhaka’ dengan Imam Abu Hanifah, guru mereka.

Namun mereka sekali-kali tidak pernah keluar daripada jamaah Imam Abu Hanifah. Hingga hari ini, mereka menjadi rujukan utama bagi umat Islam yang bermazhab Hanafi. Inilah adab orang dahulu dengan guru mereka dan dengan ulama’ (walaupun mereka juga ulama’ yang hebat).

Perkara ini perlu ditaladani oleh pendokong gerakan Islam hari ini. Soal berbeza pendapat antara ulama’ yang memimpin gerakan Islam adalah perkara biasa. Perkara yang mereka khilafkan bukanlah perkara ‘ma’lum minaddin biddharurah’. Mereka tidak berikhtilaf dalam perkara wajibnya solat, puasa dan haji. Mereka tidak bercanggah pendapat dalam menyatakan wajibnya menegakkan daulah Islamiah, wajibnya berjuang dan berjihad menegakkan agama Allah, wajibnya menentang pemimpin yang zalim dan lain-lain.

Mereka hanya berikhtilaf dalam soal furu’ (cabang) yang tidak ditetapkan secara jelas di dalam Al Quran dan Sunnah. Mereka ikhtilaf dalam soal pendekatan, strategi, eksploitasi dan sebagainya. Kita berhak untuk cenderung kepada mana-mana pandangan berdasarkan hujah dan pendalilan (istidlal) yang paling kukuh. Kita boleh tidak bersetuju dengan mana-mana pandangan yang kurang rasional.

Namun itu bukan bermakna kita perlu meletakkan ulama’ itu sebagai musuh. Itu juga bukan bermakna kita perlu melakukan inqilab (revolusi) untuk menjatuhkan ulama’ itu dari tampuk kepimpinan. Bukan juga bermakna kita terdorong untuk mengambil alih kepimpinan dari tangan ulama’ berkenaan.

Justeru, kena ada rasa rendah diri dengan ulama’. Perlu ada kesedaran, siapa kita berbanding ulama’. Sebusuk-busuk ulama’ mereka berhujah ada landasan dan sandarannya. Mereka tidak berhujah menurut hawa nafsu seperti manusia lain. Ijma’ mereka diiktiraf Allah menjadi hukum. Ijtihad mereka membuahkan pahala, walaupun tersilap.

Sedangkan kita yang bukan ulama, bukan mujtahid ini bagaimana? Apa yang dapat. Mengkritik ulama dapat dosa. Lawan ulama’ sia-sia. Benci ulama’, tunggulah akibatnya...


Monday, May 4, 2009

PAS: Gerakan Dakwah Tanpa Henti


Parti Islam Semalaysia (PAS), satu-satunya gerakan dan jamaah yang memperjuangkan Islam yang syumul di Malaysia telah berusaha mengajar dan melatih serta memberikan kefahaman Islam yang sempurna kepada ahli dan penyokongnya sejak sekian lama. Usaha yang dipanggil 'tarbiah' ini begitu berkembang baik pada pertengahan tahun 80-an, iaitu semenjak konsep Kepimpinan Ulama' mula diperkenalkan.

Soal sampai atau tidak mesej tarbiah ini kepada seluruh ahli, sukar untuk dijawab dengan angkanya. Ini kerana PAS tidak bersikap seperti sebuah kelab elit yang menghadkan penyertaan dan keahlian hanya di kalangan golongan tertentu sahaja. Tetapi PAS membuka keahlian kepada sesiapa sahaja yang ingin bersama memperjuangkan Islam.

Syarat untuk menjadi ahli PAS sangat mudah;
Pertama Islam
Kedua baligh dan
Ketiga rakyat Malaysia.

Dalam era kebangkitan PAS pada penghujung 90-an, parti ini menerima ribuan permohonan keahlian baru setiap bulan. Jualan akhbar Harakah ketika itu mencecah 300,000 naskhah, menunjukkan betapa ramainya manusia yang ingin menjadi ahli PAS.

Suatu waktu dahulu, mereka yang menyertai PAS hanya terdiri daripada golongan ulama', agamawan dan mereka yang cenderong dalam bidang agama Islam sahaja. Tetapi kini mereka terdiri dari pelbagai latar belakang.

Ada yang merupakan bekas ahli Umno, ada yang merupakan bekas pendokong jemaah Islam yang lain seperti JIM, Abim, Arqam dan sebagainya. Tidak kurang juga mereka yang menyokong PAS hanya kerana tak bersetuju dengan Umno.

Penyertaan yang pelbagai ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kesinambungan perjuangan PAS. Secara nyata, suatu ketika dahulu di dalam majlis ceramah PAS, hanya ada laungan takbir, doa wehdah dan slogan-slogan mengutuk kezaliman dan asabiah. Kini ceramah PAS sudah diwarnai dengan bunyi gemuruh tepuk tangan (walaupun ianya tidak menjadi budaya dalam gerakan Islam).

Di satu sudut, ada suara yang mengkritik mengatakan PAS sudah berubah dari matlamat asal perjuangan. Namun di sudut yang lain, PAS kini sudah berjaya memecah tembuk untuk menyampaikan suara Islam kepada segenap lapisan masyarakat. Kaum Cina dan India yang suatu waktu dahulu amat jauh dengan PAS, kini mereka sudah biasa duduk bersama orang Islam hingga tengah malam bagi mendengar ceramah PAS.

Suatu waktu dahulu mereka sangat gerun dengan Al Quran. Gerun kerana menganggap ia sebagai sebuah buku yang ada kuasa ajaib seperti ilmu sihir dan gerun kerana digambarkan Al Quran sebagai sebuah kitab yang menganjurkan keganasan. Namun kini mereka sudah mula membaca Al Quran untuk mengetahui isi kandungannya.

Siapa tidak kenal Ahli Parlimen Padang Serai (PKR), N Gobala Krishnan yang sering membaca ayat وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ dan hadith قل الحق ولو كان مراً. Timbul pula isu Ahli Parlimen Taiping (DAP) Nga Kor Ming yang sering membaca ayat 90 surah An Nahli (Utusan kata Surah Aura) إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ dalam usaha beliau menuntut pihak lawan supaya berlaku adil dan berbuat ihsan.

Kini muncul seorang lagi tokoh, Bala Subramaniam, pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat merangkap pengerusi Kelab Penyokong PAS India Pahang. Dalam ceramahnya di Jengka baru-baru ini, beliau memulakan ceramahnya dengan memberi ucapan salam yang sempurna diikuti dengan muqaddimah الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين ربّ يسر ولا تعسر يا كريم.

Dalam masa berceramah beliau menunjukkan kemampuannya menghuraikan beberapa potong ayat Al Quran yang mengatakan jika kamu meninggalkan agama Islam dan enggan memperjuangkannya, maka Allah akan datangkan kaum lain, mungkin juga kaum India, yang akan menegakkan agama ini.

Beliau seterusnya menyeru supaya jangan cenderong menyokong orang yang zalim kerana Allah memberi amaran di dalam firman-Nya dalam surah Hud ayat 113: وَلاَ تَرْكَنُواْ إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ

Bala bukan sekadar menyokong PAS. Bahkan turut belajar hukum hakam agama Islam. Beliau amat mahir berbicara tentang syarat-rukun ibadat2 dalam Islam hingga mampu membuat perumpamaan orang yang berbuat baik, tapi menyokong kezaliman seumpama orang yang sembahyang, tapi tak ambil wudhuk!

Pada hari raya korban tahun lalu, Bala dengan rendah diri memohon untuk turut sama menyertai ibadah berkenaan bersama umat Islam. Bukankah ini satu lagi peluang dan ruang dakwah Islam agar ia dapat berkembang.

Tuan Guru Nik Abd Aziz pernah ditanya, bagaimana PAS boleh tegak negara Islam melalui sistem demokrasi sedangkan peratusan orang Melayu hanya sekitar 50% sahaja. Beliau menjawab, "Kenapa kita hanya tumpu orang Melayu? Kenapa kita tidak gambarkan suatu ketika nanti Islam akan bangkit di Malaysia di tangan orang Cina, Islam tertegak di Malaysia dengan perjuangan orang-orang India? Islam tak sebutpun hanya orang Melayu yang boleh bawak Islam."

Bayangkanlah andainya PAS bersikap seperti satu dua jamaah lain yang menghadkan keahlian mereka hanya kepada golongan elit tertentu sahaja, bagaimana agaknya orang India dan Cina akan mendekati PAS?

Sunday, May 3, 2009

KEPIMPINAN SATU AMANAH



JANGAN TOLAK SETELAH DIAMANAHKAN
JANGAN REBUT SAMPAI BERKEMPEN



Berikut tulisan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
(Pesuruhjaya PAS Pahang)

Sewaktu Nabi mengiklankan satu jawatan untuk diisi oleh para sahabat, lalu datanglah Abu Zar al-Ghifari memohon jawatan tersebut, melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu nabi menyatakan:

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti di hari akhirat engkau akan akan dukacita dan menyesal ; melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanahnya".

Hadis ini seharusnya menjadi dasar pegangan setiap kita agar tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan, kerana beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung nanti.

Muawiyah bin Abu Sufyan disaat kematiannya menungkapkan kata-kata masyhur
‘Alangkah sedikitnya bekalan, alangkah jauhnya perjalanan dan alangkah beratnya bebanan’.

Rasulullah juga pernah memberi amaran antara lain mafhumnya:

‘Jangan kamu mendesak untuk mendapatkan jawatan, kerana sesiapa yang mendapatkannya sedang orang ramai tidak meredhainya, maka Allah tidak akan membantunya’.

AlHamdulillah, semangat keimanan tersebut telah tersemat kukuh dalam jamaah kita, sehingga setiap kita merasa berat untuk menerima jawatan tersebut. Tetapi kita juga sedar dengan apa yang diucapkan oleh Presiden, menerima jawatan dalam jamaah adalah perlumbaan untuk membuat kebaikan dan memperjuangkan Islam.

Kita rasa seronok bilamana kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada jamaah, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Betapa ramainya golongan yang ikhlas dalam perjuangan ini sanggup korbankan harta, masa dan tenaga untuk kemenangan Islam, walau mereka tidak memegang apa-apa jawatan dan jauh dari dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.

Jamaah kita didokongi oleh ahli yang ikhlas, kepimpinan yang wibawa dan kemantapan jamaah yang hebat. Kita sedar musuh amat cemburu dengan muafakat jamaah yang kita ada. Mereka cuba memecahkan perpaduan kita, mereka cuba laga-lagakan antara kita, kerana itu kita harus sedar agar tidak jadi jurucakap bagi pihak musuh.

Dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah antara lain Baginda mengingatkan sesiapa yang ummah/orang ramai mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahah mereka, lalu dia melarikan diri (enggan menerima) maka aku tak ingin berjumpa dengannya nanti di padang mahsyar. ( Nauzubillah).

Oleh itu pertimbangan yang wajar ialah berada di antara takut dan harap. Takut Rasulullah murka, dan harap Allah bantu dengan amanah ini.

Oleh itu menjadi tanggungjawab perwakilan yang menerima amanah ahli bawahan meneliti dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi, meletakkan kepentingan jamaah di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya bagi menerajui kepimpinan jamaah kita.

Namun kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita cadang menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya. Kita harus sedar, setelah diputus oleh jamaah maka kita mesti wala’ kepada kepimpinan yang dipilih. Perlantikan sebagai pimpinan menuntut kita taat dan wala’ kepadanya ‘ walaupun dari hamba berkulit hitam, berbangsa Habashi sekalipun’. Ini lebih penting dari pemilihan, kerana soal pemilihan boleh selesai dalam sehari, tetapi soal wala’ akan berpanjangan sehingga muktamar akan datang.

Kepada yang terpilih menerajui kepimpinan kawasan, dewan dan akan terpilih dalam muktamar pusat, ingatlah akan doa saidina Umar Al-Khattab:

“Ya Allah, engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat diakhirat”.


Ingatlah kita sebenarnya belum diuji oleh Allah dengan kemenangan besar yang menanti kita- Semoga Allah tidak menguji kita sebagaimana Allah menguji umat sebelum kita, Wassalam.

Mau'izah untuk ana dan para sahabat;

Tuan Ibrahim Tuan Man,
Temerloh - 30hb Mei




(Tulisan ini dipetik dari blog Ketua Pemuda PAS Pahang
http://www.najwasuhaimi.blogspot.com/)