Saturday, June 13, 2009

GURAUAN NAIB PRESIDEN

Apabila Dato' Tuan dipilih Naib Presiden PAS, Menteri Besar Pahang menggelabah dan mengeluarkan kenyataan kononnya BN dan Umno Pahang tidak akan terkesan daripada pemilihan jawatan berkenaan.

Mengulas kenyataan Tok Nan itu, Dato' Tuan ketika berucap di Kerdau berkata, "Memang la tak ada kesan. Sebab saya bukannya pemimpin Umno/BN. Kalau saya pemimpin Umno yelah. Ini saya pemimpin PAS."

Dalam majlis ceramah Tok Guru Nik Aziz itu, Dato' Tuan turut berseloroh mengalu-alukan kedatangan Pengerusi PKR Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman, "Saya mengalu-alukan kehadiran Dato' Fauzi yang kebetulan sama ahli kelab dengan saya..."

Hadirin terdiam mendengar kata-kata berkenaan. Masing-masing tak faham apa maksud kelab yang disertai oleh Dato' Tuan dan Dato' Fauzi. Tiba-tiba Dato' Tuan menyambung:

"Kelab 5 kaki 2 inci..." Kata-kata berkenaan menyebabkan para hadiri tertawa berderai kerana kedua-dua pemimpin PR Pahang ini bertubuh rendah....

Thursday, June 11, 2009

DATO' TUAN KEKAL PJ PAHANG

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung 11 Jun lalu mengekalkan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang.

Menjadi amalan di dalam PAS, jawatan Pesuruhjaya tidak dipilih dan dipertandingkan diperingkat negeri kerana ia adalah umpama wakil PAS Pusat untuk mentadbir dan menguruskan PAS di peringkat negeri berkenaan bagi tujuan menyelaraskan wahdatul amal pendokong PAS di seluruh negara.

Bagi sessi 2009-2011, hanya Perak dan Terengganu sahaja mendapat Pesuruhjaya baru. Negeri-negeri lain, tidak berlaku sebarang perubahan. Berikut disenaraikan nama Pesuruhjaya PAS bagi negeri-negeri seluruh Malaysia:

Ustaz Hashim Jasin (Perlis)
Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah)
Ustaz Saleh Man (Penang)
Ustaz Abu Bakar Husin (Perak) – penyandang Ustaz Ahmad Awang
Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (Kelantan)
Datuk Harun Taib (Terengganu ) – penyandang Datuk Mustafa Ali
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang)
Datuk Dr Hassan Mohd Ali (Selangor)
Mohd Noor Mohamad (Wilayah Persekutuan)
Zulkifli Mohd Omar (Negeri Sembilan)
Abdul Ghani Abdul Rahman (Melaka)
Datuk Dr Mahfodz Mohamad (Johor)
Mohamad Abdullah (Sabah)
Osman Moras (Sarawak)

Tuesday, June 9, 2009

KEKELIRUAN TENTANG ISU KERAJAAN PERPADUAN

PENJELASAN NAIB PRESIDEN PAS
DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Bila mana Presiden mengutarakan gagasan kerajaan perpaduan, ramai di kalangan kita membuat pelbagai tafsiran dan andaian. Ada pandangan terkeluar dari akhlak jamaah dan sebahagian besarnya masih dalam batas berjamaah. Kesemua permasalahan ini berpunca dari tiada satu penjelasan lengkap dikeluarkan.
Idea yang dilontar oleh pimpinan tentulah berpijak dari dasar syarak dan jauh daripada tindakan merugikan parti atau gabungan pakatan Rakyat. PAS tidak akan mengkhianati Pakatan kita, bahkan kita akan perkukuhkan gabungan ini menjadi alternatif bagi rakyat.

Sebagai ahli parti, kita mesti menerima idea dan gagasan ini dengan baik sangka kepada Presiden disamping mengikuti penjelasan darinya. Idea ini dilontar diperingkat awal untuk menjadi bahan renungan semua pihak. Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya.

Saya suka jelaskan bahawa YB Dato’ Sri Presiden akan membuat dan memperhalusi gagasan ini dalam masa terdekat dan satu wacana kepimpinan akan diadakan. Namun bagi mengurangkan sedikit polimik yang sengaja dibesarkan oleh media arus perdana, saya suka menggambarkan beberapa prinsip yang wujud dalam gagasan ini:


1. Antara asas utama dalam kerajaan perpaduan ini ialah bertolak kepada firman Allah “..dan bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”. Konsep taawun yang melahirkan muafakat yang disaran oleh Allah menjadi asas dalam pembinaan Negara perpaduan. Kita mesti membina Negara berasaskan kepada al-birr (kebaikan) yang meliputi semua elemen kebaikan bagi rakyat. Kita mesti menyedari pembinaan Negara Perpaduan tidak akan lahir dari sistem yang kelam kabut, rasuah dan penyelewengan, pimpinan yang tidak berakhlak, sistem yang penuh dengan kezaliman, dan akta yang digunakan bagi menindas rakyat. Apakah al-bir dari sistem begini? Kita mesti letakkan asas al-birr ini untuk kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Asas ini dituntut oleh Allah, apakah ada di antara kita yang tidak inginkan kebaikan?

2. Asas kedua ialah TAQWA. Negara mestilah menjurus ke arah melahirkan pimpinan yang bertaqwa, agar rakyat yang kita urus bukan hanya selamat melalui al-bir (kebaikan sistem Negara) tetapi mestilah wujud elemen taqwa. Pemimpin mestilah bertaqwa kepada Allah. Asas al bir bersifat umum, tetapi asas taqwa bersifat khusus bagi pimpinan yang ingin menerajui kepimpinan Negara Perpaduan. Semua parti politik yang pimpinannya terdiri dari mereka yang menerima Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad sebagai Rasul hendaklah sedar bahawa kehidupannya tidak berakhir di dunia. Bagaimana kita ingin melahirkan rakyat yang baik, seandainya kita sendiri bergelumang dengan dosa dan maksiat. Kepimpinan gagal menjadi model bagi rakyat, isteri pimpinan menjadi elemen yang meruntuhkan akhlak dan jati diri bangsa. Hidup tanpa batasan agama dan kawalan wahyu. Negara yang baik lahir dari kepimpinan yang baik, dan taqwa adalah asas bagi semua kebaikan. Rakyat mestilah menyedari betapa Negara kini sangat-sangat memerlukan pemimpin yang bertaqwa bagi memandu Negara. Kami menawarkan asas yang Allah menyuruh kita berpegang; apakah ada panduan yang lebih baik dari panduan Ilahi?. Apakah parti-parti politik bersedia ke arah itu, dan seandainya tidak bersedia apakah alasan di hadapan Allah nanti di akhirat bila Allah meminta kita menjelaskan kenapa dan mengapa.

3. Asas ketiga ialah kita menyatakan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam pembentukan kerajaan ini sebuah kerjasama ke arah derhaka kepada Allah. Konsep al-ism yang sangat luas menjadi sempadan pembinaan kerajaan perpaduan. Kita sebagai pimpinan mesti berusaha agar rakyat tidak terdedah kepada dosa dan maksiat. Kita perlu membina Negara yang soleh melalui pemimpin dan rakyat yang soleh. Kita mesti meletakkan asas utama agar semua elemen yang mendatangkan dosa bagi rakyat dihapuskan; kerana kebaikan tidak akan lahir dari maksiat dan munkar. Setelah lebih 50 tahun negara merdeka, pelbagai sistem yang mendedahkan dosa dipaksakan ke atas rakyat. Amalan riba yang berterusan, pusat-pusat maksiat diberi ruang yang luas oleh pemerintah, program maksiat mendapat tempat di hati rakyat sehingga lahirlah pelbagai gejala sosial, jenayah dan penyelewengan. Akibat negara yang tidak di asas kepada benteng kawalan yang menjadi syarat utama kebaikan bagi rakyat. Inilah syarat kami bahawa kami tidak akan berkompromi dengan perkara dosa dan durhaka kepada Allah yang diizinkan oleh pemimpin Negara Perpaduan. Apa makna perpaduan, kalau untuk durhaka kepada Allah, kerana tiada makna kemajuan dan perpaduan kalau ia dibentuk ke arah maksiat dan dosa.

4. Asas keempat yang dinyatakan oleh Allah ialah kami tidak akan berkerjasama ke arah permusuhan. Kita mesti menghentikan sebarang elemen perkauman sempit yang mendorong wujudnya jurang antara kaum di negara ini. Kecintaan kepada bangsa sendiri adalah fitrah manusia. Islam tidak menghalang setiap kaum menyintai kaumnya, tetapi Islam menentang tindakan zalim kepada kaum lain. Kerana kaum, bangsa dan warna kulit adalah ketentuan Allah, bukan pilihan manusia. Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan sebarang elemen ke arah permusuhan, samada di kalangan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Pertembungan antara dalaman setiap kaum akan merugikan negara. Kita tidak akan membiarkan permusuhan antara orang Melayu sebagaimana kita tidak akan izinkan permusuhan sesama kaum India dan Cina. Ini asas kita. Tindakan mengapi-api permusuhan, elemen gengstarism dan kongsi gelap, gerakan anti perpaduan serta membiarkan jurang kaya dan miskin melampau, elemen penindasan dan kezaliman golongan kaya berpengaruh ke atas rakyat miskin dan tertindas akan menjurus ke arah permusuhan.

Saya ingin tegaskan bahawa inilah antara beberapa asas dalam kerajaan perpaduan. Andainya ada pihak yang menentangnya, apakah alasan kalau inilah yang digariskan oleh Allah dalam konsep al-taawun. Taawun sebagai satu gagasan, bukan hanya terikat dengan taawun fardiyyah; tetapi satu gagasan besar yang hebat dari Allah. Di samping asas tersebut, terdapat beberapa asas lain yang akan dijelaskan kemudian.


Wassalam.

TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN


Monday, June 8, 2009

USTAZ TUAN KINI NAIB PRESIDEN


Kemenangan Pesuruhjaya PAS Pahang Dato Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Naib Presiden PAS dengan perolehan undi tertinggi mendahului Salehudin dan Hj Mahfuz seperti jangkaan awal diharap dapat menyuntik semangat pendokong PAS di negeri Pahang untuk bekerja kuat bagi mengambil alih negeri ini pada PRU yang akan datang.

Ketokohan anak saudara Mursyidul Am PAS ini telah lama diketahui umum. Beliau adalah contoh ulama profesional yang dipercayai akan terus diberi peluang memimpin parti pada masa akan datang. Guru kepada Tengku Mahkota Pahang ini juga dilihat sebagai pemimpin yang layak mengambil alih teraju kerajaan negeri pada PRU akan datang.

Kalau Kelantan berbangga dengan Tok Guru Nik Aziz, Terengganu ada Presiden PAS, Kedah pernah ada Almarhum Ustaz Fadzil Nor dan kini Ustaz Azizan, Perlis boleh berbangga dengan ketokohan Dr Harun Din, maka Pahang tentulah tidak kurang hebatnya dengan penampilan bekas Pensyarah Kanan UiTM yang juga panelis Forum Perdana Ehwal Islam yang mampu menarik ribuan penonton satu ketika dahulu.

Seingat saya kerusi Naib Presiden dulunya Naib Yang Dipertua,belum pernah diduduki pemimpin dari Pahang. Jawatan tertinggi yang pernah dipegang wakil Pahang ialah Bendahari Agung.Maaf kalau saya tersilap. Nampaknya majoriti perwakilan seakan sependapat dengan PAS Kuala Krau pimpinan Dato Tuan yang turut mencalonkan kedua dua bekas Ketua Pemuda PAS, Dato Mahfuz dan Salehudin sebagai Naib Presiden disamping Dato Tuan sendiri yang menerima banyak pencalonan dari kawasan kawasan.

Pemilihan ketiga tiga Naib Presiden ini juga dilihat satu susunan yang cukup cantik mewakili seluruh ahli di seluruh negara khususnya semenanjung. Dato Tuan boleh dianggap mewakili negeri negeri Pantai Timur, Dato Mahfuz Omar mewakili utara dan Salehudin mewakili negeri negeri Selatan.

Pada penggal yang lalu negeri negeri Selatan hanya mewakilkan Ketua Pemuda PAS yang juga bertaraf Naib. Pada tahun ini Pahang mungkin lebih istimewa apabila ada dua wakil didalam Dewan Harian PAS Pusat. Selain Dato Tuan, Ustaz Nasarudin Tantawi yang menang tanpa bertanding sebagai Ketua Pemuda PAS adalah anggota harian PAS Pusat.

(Petikan dari: http://tukulbesi.blogspot.com/)

MURSYIDUL AM ZIARAH PAHANG



Jangan lupa, Selasa ini 9hb Jun, Tok Guru Nik Aziz akan datang ke Pahang. Sebelah pagi beliau akan ke Temerloh untuk merasmikan pembukaan Bangunan Pejabat Perhubungan PAS Pahang.
Manakala sebelah malam pula beliau akan berceramah di Tapak Kompleks PAS Pahang di Kerdau. Hadirlah beramai-ramai. Ingat! Jangan datang sorang-sorang. Pastikan anda membawa dua, tiga, empat, sepuluh atau seratus rakan dan taulan bersama....


ALLAHU AKBAR!



Sunday, June 7, 2009

PIMPINAN PEJUANG ISLAM

Berikut disenaraikan saf kepimpinan PAS bagi sessi 2009-2011 yang dipilih oleh mara muktamirin dalam Muktamar Tahunan PAS Kali ke 55 yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam dari 5 hingga 7 Jun lalu:

Presiden:
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Timbalan Presiden PAS:
Ustaz Nasharudin Mat Isa

Naib Presiden:
1) Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
2) Saudara Salahuddin Ayub
3) Tuan Haji Mahfuz Omar

Ahli Jawatankuasa Kerja:
1) Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
2) Ustaz Idris Haji Ahmad
3) Dato' Kamarudin Jaffar
4) Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak
5) Dato' Dr Hasan Mohd Ali
6) Dr Mohd Hatta Md Ramli
7) Ustaz Abdul Ghani Samsudin
8) Dato' Ustaz Abu Bakar Chik
9) Mohamed Hanipa Maidin
10) Ir Amiruddin Hamzah
11) Dr Lo' Lo' Haji Mohamad Ghazali
12) Ustaz Ab Ghani Abdul Rahman
13) Dr Dzulkefly Ahmad
14) Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi
15) Ustaz Hashim Jasin
16) Mazlan Aliman
17) Ustaz Taib Azamudden Md Taib
18) Dr Mujahid Yusof Rawa

SUMBANGAN NIZAR & TOK GURU

Pada Muktamar Tahunan PAS kali ke 54 tahun lalu di Ipoh, YAB Datuk Sri Nizar yang ketika itu masih bertugas sebagai Menteri Besar mengumumkan sumbangan derma kepada PAS sebanyak RM6,000.00.

Satu stadium bergema takbir para hadirin apabila Pengerusi Tetap mengumumkan jumlah sumbangan Nizar. Masing-masing kagum, seorang yang baru sahaja menjawat jawatan Menteri Besar sudah menghulurkan sumbangan sebanayk itu.

Pada tahun ini pula, dalam Muktamar ke 55, Nizar bukan lagi Perdana Menteri (kata Mahkamah). Ertinya gajinya sebagai Menteri Besar sudah tak ada. Barang kali sudah tiga empat bulan dia tak ada gaji.

Tapi lelaki kamparin ini, membuat kejutan apabila menyumbangkan jumlah yang lebih besar daripada tahun lalu. Atas nama Ahli Parlimen, beliau menyumbang sebanyak RM10,000.00. Manakala sebagai ADUN pula sumbangannya berjumlah RM5,000.000.

Menjadikan jumlah keseluruhan derma kali ini RMK15,000.00.

Sebelum itu, ketika melancarkan kutipan derma, Tok Guru Nik Aziz mengumumkan derma kepada PAS Pusat sebanyak RM15,000.00 yang diniatkan untuk ibu, ayah dan diri beliau sendiri.

Manakala RM1,500.00 lagi didermakan kepada tabung pembangunan Kompleks PAS di Putrajaya. Menjadikan jumlah sumbangannya sebanyak RM16,500.00.

Lu pikir la sorang-sorang....