Tuesday, June 30, 2009

NAZRI KECEWA KANAK2 GAGAL DIKEKALKAN KAFIR

PAS menerusi presidennya, menjunjung kasih di atas keputusan Majlis Raja-raja yang tidak memperkenankan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama. Jika ia diperkenankan dan diluluskan di parlimen, maka jika ada mereka yang ingin memeluk Islam, maka anak-anak tidak boleh dibawa sekali ke dalam agama suci ini.

Di sudut undang-undang, anak-anak akan kekal dengan agama asal ketika ikatan perkahwinan dilangsungkan.

Dengan kata lain, kanak-kanak bukan Islam di Malaysia, langsung tiada peluang di sisi undang-undang untuk memeluk Islam. Untuk memeluk sendiri, mereka belum sampai umur. Untuk mengikuti ibu/ayah yang memeluk Islam, undang-undang mengekalkan mereka pada agama asal. Justeru tindakan Majlis Raja-raja itu harus dipuji.

Namun, ketika seluruh umat Islam melahirkan rasa syukur, sekonyong-konyong Nazri Perak melahirkan kekecewaan. Utusan melaporkan:

Mohamed Nazri berkata, Jabatan Peguam Negara telah membuat kajian mengenai cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) itu sejak tahun 2006 lagi.

"Ia juga melibatkan perbincangan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mufti-mufti dan semua persatuan keagamaan dalam negara termasuk melantik bekas Ketua Hakim Mahkamah Syarie, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman sebagai penasihat mereka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah melakukan kajian yang secukupnya dan berpendapat kerajaan telah bersedia untuk meminda undang-undang berkenaan.

"Bagaimanapun saya menghormati keputusan Majlis Raja-Raja semalam dan kerana ia melibatkan undang-undang Syariah yang harus diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Akhirnya dengan penuh kecewa kerana tidak dapat mengekalkan kanak-kanak dalam agama kafir, Nazri berkata, "Saya juga tidak pasti bilakah undang-undang ini akan dipinda kerana saya tidak mempunyai kuasa untuk memuktamadkan perkara ini."

BUKTI UMNO SAMA DENGAN CHIN PENG & AYAH PIN

Sekonyong-konyong, melenting yang amat sangat pemimpin-pemimpin Umno bila Tok Guru Nik Aziz samakan Umno dengan Chin Peng (komunis) di sudut jahatnya dan sama dengan Ayah Pin di sudut sesatnya.

Untuk nampak hero, maka si Anuar Safian, Ketua Pemuda Umno Kelantan terus membengis:

"Pemuda melihat tuduhan ini sebagai mengetepikan sejarah dan perlembagaan negara kerana sekiranya disamakan UMNO dengan Chin Peng, kita mahu bertanya Nik Aziz, berapa ramaikah yang telah dibunuh dan diperkosa oleh Umno sejak penubuhannya.

"Sekiranya kita Umno disamakan dengan ajaran sesat Ayah Pin berapa ramaikah yang telah disesatkan oleh Umno dan sekiranya kita disamakan dengan parti sosialis yang tidak percayakan agama dan kewujudan ketuhanan, kami yakin Umnolah yang banyak membawa perubahan kepada orang Melayu dan Islam dalam negara ini...."


Sebelum melenting, cuba renungkan fakta berikut:

1. Ketika berkunjung ke Jengka, Tun Dr Mahathir yang ketika itu menjadi Perdana Menteri mengatakan PAS sama seperti komunis. Tetapi di zamannya jugalah berlakunya Perjanjian Hatnyai iaitu perdamaian dengan Chin Peng dan pengikutnya pada 2.12.1989. Dengan perjanjian itu ratusan ahli PKM dibenarkan masuk dan tinggal di Malaysia.

2. Anuar Safian patut bertanya Tun yang masih hidup, berapa orang rakyat Malaysia yang telah dibunuh oleh pendokong PAS kerana tidak menyokong perjuangan Islam. Jangankan dibunuh, dijentik telingapun belum lagi.

3. Soalan Anuar Safian kepada PAS, berapa ramai yang telah dibunuh dan diperkosa oleh Umno, Anuar boleh jawab sendiri. Saya hanya memaparkan beberapa catatan sejarah yang pemuda Umno jangan berdolak dalik.

4. Ketika berlaku Peristiwa Memali tahun 1985, Anuar Safian belum baligh lagi. Tahu tak siapa di belakang pembunuhan Ibrahim Libya dan 13 penyokong PAS di Memali? Bukankah Umno yang begitu zalim telah memperkudakan polis untuk melaksanakan perancangan jahat menghancurkan perjuangan PAS.

5. Siapakah yang menggunakan kayu, batu, besi menyerang petugas PAS di Felda Lubuk Merbau ketika pilihanraya kecil Padang Terap sebelum Tragedi Memali yang mengakibatkan terbunuhnya Allahyarham Othman Talib. Mereka semuanya samseng Umno sama lah dengan Chin Peng. Peguam PAS ketika itu, Hj Suhaimi Said yang membongkar kisah itu akhirnya disumbat ke Kem Tahanan Kemunting.

6. Pimpinan PAS Perlis Cikgu Taharin mati ditembak oleh siapa? Pimpinan Pemuda PAS Samad Ghul mati di kapak. Profesor Zulkefly Mohamad dan isterinya terbunuh dalam kemalangan yang disengajakan oleh siapa? Aktivis PAS Pasir Salak dibunuh dalam satu pilihanraya umum sedikit masa dahulu.

7. Pembunuhan politik yang didalangi Umno bukan sahaja berlaku kepada pembangkang tetapi musuh politik dalaman turut menjadi mangsa. Menteri Kabinet Dato Mokhtar Hashim dipenjara kerana bersalah membunuh Dato Taha dalam perebutan Umno di Negeri Sembilan.

8. Dato Mazlan yang dikerat 18 dibunuh oleh Mona Fendi suami isteri yang juga ada hubungan dengan Umno. Jadi apa masalahnya kepada Pemuda Umno kalau TG Nik Aziz menyamakan perjuangan Umno sama dengan Chin Peng. Berkaitan Ayah Pin,tak kan pemuda Umno Kelantan tak ingat Dr Mahathir pernah memberi amaran kepada kerajaan APU di Kelantan supaya jangan sesekali melaksanakan Islam di Kelantan. Jangan lupa juga Zaid Ibrahim yang baru bertaubat itu ketika menjadi pemimpin Umno pernah menyaman hukum hudud! Ayah Pin pun tak macam tu.

Bukan sekadar Anuar Safian, bahkan Ayahanda Harussani yang dihormati juga patut baca fakta-fakta ini untuk mengetahui betapa sesatnya Umno dan betapa jahatnya mereka membunuh rakyat.



Monday, June 22, 2009

DEMI PERJUANGAN

KERAJAAN PERPADUAN PERGI
JAMAAH PERPADUAN MARI

Bila ulama' sesama ulama' berkhilaf, jangan disamakan seperti orang bergusti

Kerajaan Perpaduan bukanlah masalah usul (pokok) dalam syariat Islam. Tiada dalil qat'i yang mengharuskan atau mengharamkan. Ia adalah persoalan ijtihadiyah. Maka tidak hairanlah jika pimpinan PAS sendiri tidak sependapat dalam perkara ini. Hukum bagi masalah ijtihadiyah dan furu' berubah mengikut keadaan dan suasana.

Qaedah Fiqhiyyah menyatakan:

لا ينكر تغير الأحكام بتغير الزمان والمكان والحال
"Tidak ditolak perubahan hukum dengan berubahnya zaman, tempat dan keadaan."

Walaupun lontaran idea itu datang dari Presiden, namun melihatkan ketidak sediaan banyak pihak dalam menerima idea ini serta manipulasi pihak musuh yang mempergunakan isu ini untuk kepentingan mereka maka Tuan Guru Presiden dengan rendah hati menarik balik idea itu.

Begitulah besarnya jiwa seorang ulama' yang mendapat pengiktirafan gerakan Islam seluruh dunia. Sekalipun beliau boleh sahaja membuat keputusan yang akhirnya menjadi kewajipan kepada semua ahli untuk mentaatinya kerana mentaati amir dalam perkara ijtihadiyyah adalah wajib selagi tidak bertentangan dengan syariat. Namun Presiden memilih untuk tidak berbuat demikian melihatkan kepada maslahah dan mafsadahnya.

Di pihak Mursyidul Am pula, kerelaannya menarik balik lontaran kemarahannya kepada Timbalan Presiden adalah satu tindakan yang sungguh mulia. Inilah hikmah usrah. Apabila bertemu, ukhuwwah akan terjalin. Persengketaan akan hilang. Ketika timbulnya isu muzakarah yang menyebabkan orang ramai melihat Mursyidul Am dan Presiden seolah-olah bertempur dari jauh, namun apabila mereka bertemu, Allah satukan hati mereka. Dakapan presiden dan Mursyidul Am menguraikan segala yang kusut.

Subhanallah... Inilah jamaah Islam. Inilah gerakan Islam. Inilah yang dicemberui oleh kawan dan lawan. Barangkali, ini adalah hasil doa dan solat hajat ratusan ribu ahli yang sayangkan jamaah Islam ini.

Begitulah mulianya jamaah yang dipimpin oleh ulama'. Ulama' adalah pewaris Nabi, ulama' adalah manusia yang takutkan Allah melebihi 'spesis' manusia lain. Inilah kenyataan dari Al Quran dan Hadith. Dalam berkhilaf, ulama' memelihara dan meraikan adabul khilaf. Dalam berhujjah, ulama' bersandar kepada dalil naqli dan 'aqli. Dalam berijtihad, ulama' melihat dan merenung kemaslahatan ummah. Dalam kerasnya, ada kelembutan. Dalam lembutnya ada ketegasan.

Di manakah kedudukan kita berbanding ulama'. Siapalah kita, hendak bertempur dengan ulama'.

Sesungguhnya PAS adalah sebuah jami'ah, sebuah universiti. Bahkan PAS adalah sebuah struktur pendidikan yang kompleks. Bermula pendidikan diperingkat akar umbi yang dibina di atas usrah dan tamrin. Hinggalah ke peringkat pertempuran politik dan kajian ilmiah, syura ulama' dan ijtihad politiknya. Beruntunglah mereka yang telah melalui kesemua peringkat tarbiyah dalam jami'ah PAS ini.

Ijtihad-ijtihad politik pimpinan PAS seperti ijtihad tentang kepimpinan ulama awal 80an, ijtihad ketika bertahalluf dengan Umno (1970an), CCC, Nasma, kemudiannya bersama S46, Hamim, Berjasa (1990) dan kini bersama PKR dan DAP serta pewujudan Kelab Penyokong PAS menjadi kajian ilmiah yang diberikan tumpuan hebat di universiti ternama di Timur Tengah dan Eropah.

Pensyarah sains politik hanya berteori. Tetapi graduate dari 'Universiti PAS' adalah mereka yang menghayati, menyelami dan merasai jerit perihnya perjuangan Islam. Sesungguhnya ahli dan pejuang PAS adalah mereka yang lebih hebat dari pak profesor di U-U yang bertaburan atas muka bumi ini.

ALLAHU AKBAR!







Sunday, June 21, 2009

TAMRIN SIYASI BERJAYA

Alhamdulillah. Setelah beberapa lama merancang, akhirnya DPPKB berjaya mengadakan siri tamrinnya yang pertama bagi penggal ini Sabtu lalu. Ia diadakan di luar kawasan Bentong iaitu di Markaz Cempaka, Lanchang bagi memberi kelainan kepada peserta yang bernaung di bawah kawasan Bentong.

BERJAYA yang dimaksudkan itu ialah berjaya menghidupkan tamrin yang telah sekian lama dilupakan... dan berjaya memperkenalkan tamrin kepada ahli yang belum pernah mengikutinya. Peserta berpuas hati dengan pengisian kuliah Maghrib dan Subuh, pembentangan kertas kerja, ceramah, bengkel, riadhah rohani dan jasmani serta qiamullail.

Tamrin selama 2 hari dengan penumpunan memantapkan organisasi itu diserikan dengan kehadiran Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad, YDP PAS Kawasan Temerloh, Ustaz Abd Rahim Latif dan Pengerusi Tetap DPPK Kuala Krau, Ustaz Haji Sharif. Pengisian mantap yang mereka berikan benar-benar memberikan kesan yang mendalam kepada peserta.

Ustaz Suhaimi di dalam pembentangannya menjelaskan secara terperinci peranan Pemuda serta fungsi lajnah dan jabatan di dalam DPP kawasan.

Semoga semua ahli yang tidak hadir akan bersedia untuk menyertai tamrin yang akan diadakan lagi pada masa akan datang.





Thursday, June 18, 2009

Ahli PAS diminta bertenang

Oleh: USTAZ IDRIS AHMAD
Ketua Penerangan PAS Pusat

SEMUA ahli PAS diminta bertenang dalam menghadapi ujian yang begitu mencabar dalam kepimpinan parti. Semua ini akan menguji kematangan pemimpin untuk menguruskan krisis.

Insya-Allah PAS yang mempunyai bahtera yang kuat dan kukuh mampu untuk menghadapi semuanya ini. Kalau Umno-BN yang mempunyai bala tentera dan kewangan daripada "qarun-qarun" yang ada di atas muka bumi ini pun kita mampu hadapi.

Maka sudah barang pastilah masalah yang berlaku pada hari ini, insya-Allah dapat diatasi dengan baik dan elok.

Saya yakin bahawa ahli PAS yang matang dalam sepak terajang politik akan merasa tenang apabila kita tahu kekuatan yang ada pada PAS dan organisasinya.

Ini kerana PAS adalah milik kita semua. Ia tidak boleh dimonopoli oleh sesiapa pun. PAS ada peraturan dan perlembagaan yang kemas dan teratur.

Iltizam kita ialah bersama dengan Pakatan Rakyat dan berhadapan dengan Umno-BN dalam apa suasana sekalipun.

Media cuba memainkan isu bahawa PAS hendak mewujudkan perpaduan Melayu. Secara tidak langsung mereka cuba melontarkan fitnah bahawa PAS hendak meninggalkan Pakatan Rakyat. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato' Setiausaha Agung pada 17 Jun lalu telah menjelaskan kekeliruan ini.

Kerajaan Perpaduan hanyalah lontaran idea sahaja daripada Presiden PAS. Sebarang keputusan dan polisi parti yang hendak dibuat akan dibincang terlebih dahulu dalam parti.

Insya-Allah, segala keputusan yang diputuskan itu akan kita sampaikan kepada semua pihak sehingga ke peringkat akar umbi melalui majlis taklimat khas.

Yakinlah firman Allah SWT, yang bermaksud: "Hendaklah kamu bermesyuarat dalam urusan kamu." Dan maksud sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Berjamaah itu rahmat."

Oleh itu kita boleh berbincang untuk mendapat maklumat sahih melalui mesyuarat, muzakarah, usrah, liqa. Inilah mekanisme parti yang paling baik untuk kita menyuarakan masalah dan kritikan kepada parti. Sekarang zaman canggih, maka bolehlah kita hubungi pimpinan untuk mendapat penjelasan.

Bersandarkan nas syara'

Segala keputusan politik yang PAS buat selama ini semuanya bersandarkan kepada nas syara' dan fiqh siasi.

Kita bertahalluf dengan parti bukan Islam dan ideologi yang berbeza, semuanya merujuk kepada nas syarak. Bukan senang hendak meyakinkan ahli bagaimana kita dibenarkan mengundi calon bukan Islam yang bertanding atas tiket parti yang bertahalluf dengan kita.

Semua ahli PAS perlu berhati-hati dalam menghadapi isu ini. Ini kerana musuh sentiasa memasang perangkap untuk menjayakan misi mereka bagi memecah-belahkan di kalangan ahli dan pimpinan.

Dapatkan maklumat rasmi daripada akhbar rasmi Harakah, laman web Harakahdaily dan akhbar Siasah supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

Tunggu dan sabarlah untuk mendapatkan penjelasan rasmi daripada pimpinan dalam isu ini. Rapatkan saf jamaah supaya syaitan tidak menyusup masuk ke dalam parti kita.


Wednesday, June 17, 2009

ARAHAN SOLAT HAJAT

Assalamualaikum wrt...

Soal berbeza pendapat di kalangan para Fuqaha' dan para pejuang Islam adalah perkara biasa jika masing-masing menjaga adabul khilaf sesama mereka. Bahkan ada ketikanya khilaf itu menjadi rahmat yang memudahkan ummah melaksanakan perintah Allah.

Namun akhir-akhir ini didapati media massa yang didalangi oleh pihak musuh cuba memainkan isu tertentu dan mengapi-apikan perbezaan pendapat di kalangan pimpinan PAS menyebabkan keadaan yang asalnya tenteram dan aman menjadi kecoh. Media juga sering memaparkan tajuk besar yang menampakkan kontra pendapat di antara pimpinan PAS walaupun kenyataan sebenarnya tidak begitu.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bentong (DPPKB) menyeru semua ahli supaya bertenang dan berfikir secara rasional serta meletakkan kepentingan perjuangan Islam di hadapan. Jangan mudah melatah di atas setiap berita yang dipaparkan oleh media.

Serentak dengan itu juga DPPKB menyeru semua ahli, khususnya pemuda agar mengadukan hal ini kepada Allah serta berdoa agar Allah menyelamatkan perjuangan Islam ini dan menyatukan hati-hati para pejuangnya. Anjurkan solat hajat di semua peringkat, semoga perancangan musuh akan terkena balik ke atas kepala mereka. Amin.

Ketua Pemuda PAS
Kawasan Bentong.

Saturday, June 13, 2009

SYEIKH FATHI YAKAN DALAM KENANGAN


Malam Sabtu (12.6.09) lalu, DPP Kawasan Bentong mengadakan majlis Usrah Umum di Markaz Chegar Medang. Antara pengisian utamanya ialah bacaan kitab ماذا يعنى انتمائى للإسلام (APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM).

Sebelum menghuraikan bab satu kitab berkenaan, naqib terlebih dahulu menjelaskan tentang pengarang kitab berkenaan, iaitu Syeikh Dr Fathi Yakan. Beliau diperkenalkan sebagai seorang pejuang Islam yang gigih, mengarang pelbagai kitab yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa serta menjadi panduan kepada gerakan-gerakan Islam seluruh dunia.

Beliau juga diperkenalkan sebagai seorang tokoh yang sering berkunjung ke Malaysia terutama untuk menghadiri Muktamar PAS Pusat. Pada 1997, ketika menghadiri Muktamar Agong PAS, Dr Fathi Yakan memberi ingatan kita ahli-ahli PAS dan semua pejuang Islam tentang bahaya 'AIDS Haraki', iaitu istilah yang menggambarkan fenomena hilang upaya perjuangan di kalangan pendokong gerakan Islam.

Malam Sabtu kita berusrah, esoknya (13.6.09), tanpa disangka-sangka Dr Fathi Yakan menghembuskan nafas terakhir setelah 76 tahun mengabdikan diri kepda perjuangan Islam. Beliau yang lahir pada 1933 di Tripoli Lubnan adalah pengasas kepada Pergerakan Islam Lubnan pada tahun 50an.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya. Usrah Pemuda Bentong akan terus menggunakan buku beliau. Semoga pahalanya terus mengalir ke alam barzakh.



GURAUAN NAIB PRESIDEN

Apabila Dato' Tuan dipilih Naib Presiden PAS, Menteri Besar Pahang menggelabah dan mengeluarkan kenyataan kononnya BN dan Umno Pahang tidak akan terkesan daripada pemilihan jawatan berkenaan.

Mengulas kenyataan Tok Nan itu, Dato' Tuan ketika berucap di Kerdau berkata, "Memang la tak ada kesan. Sebab saya bukannya pemimpin Umno/BN. Kalau saya pemimpin Umno yelah. Ini saya pemimpin PAS."

Dalam majlis ceramah Tok Guru Nik Aziz itu, Dato' Tuan turut berseloroh mengalu-alukan kedatangan Pengerusi PKR Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman, "Saya mengalu-alukan kehadiran Dato' Fauzi yang kebetulan sama ahli kelab dengan saya..."

Hadirin terdiam mendengar kata-kata berkenaan. Masing-masing tak faham apa maksud kelab yang disertai oleh Dato' Tuan dan Dato' Fauzi. Tiba-tiba Dato' Tuan menyambung:

"Kelab 5 kaki 2 inci..." Kata-kata berkenaan menyebabkan para hadiri tertawa berderai kerana kedua-dua pemimpin PR Pahang ini bertubuh rendah....

Thursday, June 11, 2009

DATO' TUAN KEKAL PJ PAHANG

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung 11 Jun lalu mengekalkan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang.

Menjadi amalan di dalam PAS, jawatan Pesuruhjaya tidak dipilih dan dipertandingkan diperingkat negeri kerana ia adalah umpama wakil PAS Pusat untuk mentadbir dan menguruskan PAS di peringkat negeri berkenaan bagi tujuan menyelaraskan wahdatul amal pendokong PAS di seluruh negara.

Bagi sessi 2009-2011, hanya Perak dan Terengganu sahaja mendapat Pesuruhjaya baru. Negeri-negeri lain, tidak berlaku sebarang perubahan. Berikut disenaraikan nama Pesuruhjaya PAS bagi negeri-negeri seluruh Malaysia:

Ustaz Hashim Jasin (Perlis)
Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah)
Ustaz Saleh Man (Penang)
Ustaz Abu Bakar Husin (Perak) – penyandang Ustaz Ahmad Awang
Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (Kelantan)
Datuk Harun Taib (Terengganu ) – penyandang Datuk Mustafa Ali
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang)
Datuk Dr Hassan Mohd Ali (Selangor)
Mohd Noor Mohamad (Wilayah Persekutuan)
Zulkifli Mohd Omar (Negeri Sembilan)
Abdul Ghani Abdul Rahman (Melaka)
Datuk Dr Mahfodz Mohamad (Johor)
Mohamad Abdullah (Sabah)
Osman Moras (Sarawak)

Tuesday, June 9, 2009

KEKELIRUAN TENTANG ISU KERAJAAN PERPADUAN

PENJELASAN NAIB PRESIDEN PAS
DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Bila mana Presiden mengutarakan gagasan kerajaan perpaduan, ramai di kalangan kita membuat pelbagai tafsiran dan andaian. Ada pandangan terkeluar dari akhlak jamaah dan sebahagian besarnya masih dalam batas berjamaah. Kesemua permasalahan ini berpunca dari tiada satu penjelasan lengkap dikeluarkan.
Idea yang dilontar oleh pimpinan tentulah berpijak dari dasar syarak dan jauh daripada tindakan merugikan parti atau gabungan pakatan Rakyat. PAS tidak akan mengkhianati Pakatan kita, bahkan kita akan perkukuhkan gabungan ini menjadi alternatif bagi rakyat.

Sebagai ahli parti, kita mesti menerima idea dan gagasan ini dengan baik sangka kepada Presiden disamping mengikuti penjelasan darinya. Idea ini dilontar diperingkat awal untuk menjadi bahan renungan semua pihak. Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya.

Saya suka jelaskan bahawa YB Dato’ Sri Presiden akan membuat dan memperhalusi gagasan ini dalam masa terdekat dan satu wacana kepimpinan akan diadakan. Namun bagi mengurangkan sedikit polimik yang sengaja dibesarkan oleh media arus perdana, saya suka menggambarkan beberapa prinsip yang wujud dalam gagasan ini:


1. Antara asas utama dalam kerajaan perpaduan ini ialah bertolak kepada firman Allah “..dan bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”. Konsep taawun yang melahirkan muafakat yang disaran oleh Allah menjadi asas dalam pembinaan Negara perpaduan. Kita mesti membina Negara berasaskan kepada al-birr (kebaikan) yang meliputi semua elemen kebaikan bagi rakyat. Kita mesti menyedari pembinaan Negara Perpaduan tidak akan lahir dari sistem yang kelam kabut, rasuah dan penyelewengan, pimpinan yang tidak berakhlak, sistem yang penuh dengan kezaliman, dan akta yang digunakan bagi menindas rakyat. Apakah al-bir dari sistem begini? Kita mesti letakkan asas al-birr ini untuk kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Asas ini dituntut oleh Allah, apakah ada di antara kita yang tidak inginkan kebaikan?

2. Asas kedua ialah TAQWA. Negara mestilah menjurus ke arah melahirkan pimpinan yang bertaqwa, agar rakyat yang kita urus bukan hanya selamat melalui al-bir (kebaikan sistem Negara) tetapi mestilah wujud elemen taqwa. Pemimpin mestilah bertaqwa kepada Allah. Asas al bir bersifat umum, tetapi asas taqwa bersifat khusus bagi pimpinan yang ingin menerajui kepimpinan Negara Perpaduan. Semua parti politik yang pimpinannya terdiri dari mereka yang menerima Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad sebagai Rasul hendaklah sedar bahawa kehidupannya tidak berakhir di dunia. Bagaimana kita ingin melahirkan rakyat yang baik, seandainya kita sendiri bergelumang dengan dosa dan maksiat. Kepimpinan gagal menjadi model bagi rakyat, isteri pimpinan menjadi elemen yang meruntuhkan akhlak dan jati diri bangsa. Hidup tanpa batasan agama dan kawalan wahyu. Negara yang baik lahir dari kepimpinan yang baik, dan taqwa adalah asas bagi semua kebaikan. Rakyat mestilah menyedari betapa Negara kini sangat-sangat memerlukan pemimpin yang bertaqwa bagi memandu Negara. Kami menawarkan asas yang Allah menyuruh kita berpegang; apakah ada panduan yang lebih baik dari panduan Ilahi?. Apakah parti-parti politik bersedia ke arah itu, dan seandainya tidak bersedia apakah alasan di hadapan Allah nanti di akhirat bila Allah meminta kita menjelaskan kenapa dan mengapa.

3. Asas ketiga ialah kita menyatakan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam pembentukan kerajaan ini sebuah kerjasama ke arah derhaka kepada Allah. Konsep al-ism yang sangat luas menjadi sempadan pembinaan kerajaan perpaduan. Kita sebagai pimpinan mesti berusaha agar rakyat tidak terdedah kepada dosa dan maksiat. Kita perlu membina Negara yang soleh melalui pemimpin dan rakyat yang soleh. Kita mesti meletakkan asas utama agar semua elemen yang mendatangkan dosa bagi rakyat dihapuskan; kerana kebaikan tidak akan lahir dari maksiat dan munkar. Setelah lebih 50 tahun negara merdeka, pelbagai sistem yang mendedahkan dosa dipaksakan ke atas rakyat. Amalan riba yang berterusan, pusat-pusat maksiat diberi ruang yang luas oleh pemerintah, program maksiat mendapat tempat di hati rakyat sehingga lahirlah pelbagai gejala sosial, jenayah dan penyelewengan. Akibat negara yang tidak di asas kepada benteng kawalan yang menjadi syarat utama kebaikan bagi rakyat. Inilah syarat kami bahawa kami tidak akan berkompromi dengan perkara dosa dan durhaka kepada Allah yang diizinkan oleh pemimpin Negara Perpaduan. Apa makna perpaduan, kalau untuk durhaka kepada Allah, kerana tiada makna kemajuan dan perpaduan kalau ia dibentuk ke arah maksiat dan dosa.

4. Asas keempat yang dinyatakan oleh Allah ialah kami tidak akan berkerjasama ke arah permusuhan. Kita mesti menghentikan sebarang elemen perkauman sempit yang mendorong wujudnya jurang antara kaum di negara ini. Kecintaan kepada bangsa sendiri adalah fitrah manusia. Islam tidak menghalang setiap kaum menyintai kaumnya, tetapi Islam menentang tindakan zalim kepada kaum lain. Kerana kaum, bangsa dan warna kulit adalah ketentuan Allah, bukan pilihan manusia. Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan sebarang elemen ke arah permusuhan, samada di kalangan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Pertembungan antara dalaman setiap kaum akan merugikan negara. Kita tidak akan membiarkan permusuhan antara orang Melayu sebagaimana kita tidak akan izinkan permusuhan sesama kaum India dan Cina. Ini asas kita. Tindakan mengapi-api permusuhan, elemen gengstarism dan kongsi gelap, gerakan anti perpaduan serta membiarkan jurang kaya dan miskin melampau, elemen penindasan dan kezaliman golongan kaya berpengaruh ke atas rakyat miskin dan tertindas akan menjurus ke arah permusuhan.

Saya ingin tegaskan bahawa inilah antara beberapa asas dalam kerajaan perpaduan. Andainya ada pihak yang menentangnya, apakah alasan kalau inilah yang digariskan oleh Allah dalam konsep al-taawun. Taawun sebagai satu gagasan, bukan hanya terikat dengan taawun fardiyyah; tetapi satu gagasan besar yang hebat dari Allah. Di samping asas tersebut, terdapat beberapa asas lain yang akan dijelaskan kemudian.


Wassalam.

TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN


Monday, June 8, 2009

USTAZ TUAN KINI NAIB PRESIDEN


Kemenangan Pesuruhjaya PAS Pahang Dato Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Naib Presiden PAS dengan perolehan undi tertinggi mendahului Salehudin dan Hj Mahfuz seperti jangkaan awal diharap dapat menyuntik semangat pendokong PAS di negeri Pahang untuk bekerja kuat bagi mengambil alih negeri ini pada PRU yang akan datang.

Ketokohan anak saudara Mursyidul Am PAS ini telah lama diketahui umum. Beliau adalah contoh ulama profesional yang dipercayai akan terus diberi peluang memimpin parti pada masa akan datang. Guru kepada Tengku Mahkota Pahang ini juga dilihat sebagai pemimpin yang layak mengambil alih teraju kerajaan negeri pada PRU akan datang.

Kalau Kelantan berbangga dengan Tok Guru Nik Aziz, Terengganu ada Presiden PAS, Kedah pernah ada Almarhum Ustaz Fadzil Nor dan kini Ustaz Azizan, Perlis boleh berbangga dengan ketokohan Dr Harun Din, maka Pahang tentulah tidak kurang hebatnya dengan penampilan bekas Pensyarah Kanan UiTM yang juga panelis Forum Perdana Ehwal Islam yang mampu menarik ribuan penonton satu ketika dahulu.

Seingat saya kerusi Naib Presiden dulunya Naib Yang Dipertua,belum pernah diduduki pemimpin dari Pahang. Jawatan tertinggi yang pernah dipegang wakil Pahang ialah Bendahari Agung.Maaf kalau saya tersilap. Nampaknya majoriti perwakilan seakan sependapat dengan PAS Kuala Krau pimpinan Dato Tuan yang turut mencalonkan kedua dua bekas Ketua Pemuda PAS, Dato Mahfuz dan Salehudin sebagai Naib Presiden disamping Dato Tuan sendiri yang menerima banyak pencalonan dari kawasan kawasan.

Pemilihan ketiga tiga Naib Presiden ini juga dilihat satu susunan yang cukup cantik mewakili seluruh ahli di seluruh negara khususnya semenanjung. Dato Tuan boleh dianggap mewakili negeri negeri Pantai Timur, Dato Mahfuz Omar mewakili utara dan Salehudin mewakili negeri negeri Selatan.

Pada penggal yang lalu negeri negeri Selatan hanya mewakilkan Ketua Pemuda PAS yang juga bertaraf Naib. Pada tahun ini Pahang mungkin lebih istimewa apabila ada dua wakil didalam Dewan Harian PAS Pusat. Selain Dato Tuan, Ustaz Nasarudin Tantawi yang menang tanpa bertanding sebagai Ketua Pemuda PAS adalah anggota harian PAS Pusat.

(Petikan dari: http://tukulbesi.blogspot.com/)

MURSYIDUL AM ZIARAH PAHANG



Jangan lupa, Selasa ini 9hb Jun, Tok Guru Nik Aziz akan datang ke Pahang. Sebelah pagi beliau akan ke Temerloh untuk merasmikan pembukaan Bangunan Pejabat Perhubungan PAS Pahang.
Manakala sebelah malam pula beliau akan berceramah di Tapak Kompleks PAS Pahang di Kerdau. Hadirlah beramai-ramai. Ingat! Jangan datang sorang-sorang. Pastikan anda membawa dua, tiga, empat, sepuluh atau seratus rakan dan taulan bersama....


ALLAHU AKBAR!



Sunday, June 7, 2009

PIMPINAN PEJUANG ISLAM

Berikut disenaraikan saf kepimpinan PAS bagi sessi 2009-2011 yang dipilih oleh mara muktamirin dalam Muktamar Tahunan PAS Kali ke 55 yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam dari 5 hingga 7 Jun lalu:

Presiden:
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Timbalan Presiden PAS:
Ustaz Nasharudin Mat Isa

Naib Presiden:
1) Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
2) Saudara Salahuddin Ayub
3) Tuan Haji Mahfuz Omar

Ahli Jawatankuasa Kerja:
1) Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
2) Ustaz Idris Haji Ahmad
3) Dato' Kamarudin Jaffar
4) Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak
5) Dato' Dr Hasan Mohd Ali
6) Dr Mohd Hatta Md Ramli
7) Ustaz Abdul Ghani Samsudin
8) Dato' Ustaz Abu Bakar Chik
9) Mohamed Hanipa Maidin
10) Ir Amiruddin Hamzah
11) Dr Lo' Lo' Haji Mohamad Ghazali
12) Ustaz Ab Ghani Abdul Rahman
13) Dr Dzulkefly Ahmad
14) Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi
15) Ustaz Hashim Jasin
16) Mazlan Aliman
17) Ustaz Taib Azamudden Md Taib
18) Dr Mujahid Yusof Rawa

SUMBANGAN NIZAR & TOK GURU

Pada Muktamar Tahunan PAS kali ke 54 tahun lalu di Ipoh, YAB Datuk Sri Nizar yang ketika itu masih bertugas sebagai Menteri Besar mengumumkan sumbangan derma kepada PAS sebanyak RM6,000.00.

Satu stadium bergema takbir para hadirin apabila Pengerusi Tetap mengumumkan jumlah sumbangan Nizar. Masing-masing kagum, seorang yang baru sahaja menjawat jawatan Menteri Besar sudah menghulurkan sumbangan sebanayk itu.

Pada tahun ini pula, dalam Muktamar ke 55, Nizar bukan lagi Perdana Menteri (kata Mahkamah). Ertinya gajinya sebagai Menteri Besar sudah tak ada. Barang kali sudah tiga empat bulan dia tak ada gaji.

Tapi lelaki kamparin ini, membuat kejutan apabila menyumbangkan jumlah yang lebih besar daripada tahun lalu. Atas nama Ahli Parlimen, beliau menyumbang sebanyak RM10,000.00. Manakala sebagai ADUN pula sumbangannya berjumlah RM5,000.000.

Menjadikan jumlah keseluruhan derma kali ini RMK15,000.00.

Sebelum itu, ketika melancarkan kutipan derma, Tok Guru Nik Aziz mengumumkan derma kepada PAS Pusat sebanyak RM15,000.00 yang diniatkan untuk ibu, ayah dan diri beliau sendiri.

Manakala RM1,500.00 lagi didermakan kepada tabung pembangunan Kompleks PAS di Putrajaya. Menjadikan jumlah sumbangannya sebanyak RM16,500.00.

Lu pikir la sorang-sorang....